Pengikut Ustaz Abdul Somad adakan bantahan di Kedutaan Singapura, buat tiga tuntutan

(Gambar: @ustadzabdulsomad/Instagram)
JAKARTA: Sekelompok orang yang merupakan penyokong Ustaz Abdul Somad mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Singapura, di Jakarta pada Jumaat (20 Mei), dan Konsulat Agung Singapura di Medan sebagai membantah tindakan Singapura tidak membenarkan pendakwah Indonesia itu memasuki negara tersebut, lapor portal Detik.com.
Menurut agensi berita itu, aksi bantahan diadakan bersama kumpulan Pertahanan Ideologi Sarekat Islam (Perisai).
Penunjuk perasaan membawa tiang bendera Merah Putih serta membahagi-bahagikan kertas mengandungi tuntutan.
"Tindakan yang dilakukan Singapura menandakan mereka secara terang-terangan menuduh UAS (Ustaz Abdul Somad) radikal, atau UAS itu dituduh Singapura pengganas," kata seorang jurucakap tunjuk perasaan M Saleh, seperti dinukil media tempatan Detik.com.
Berikut ini tiga tuntutan yang disampaikan dalam pemberitahuan kepada polis daerah Metro Jaya:
1. Mengecam dan mengutuk keras atas tindakan perbuatan tidak menyenangkan yang dilakukan oleh Imigresen Singapura terhadap Ustaz Abdul Somad.
2. Meminta Kedutaan Besar Singapura yang ada di Indonesia memberikan penjelasan dan meminta maaf secara terbuka.
3. Usir Duta Besar Singapura kerana telah mengusir Ustaz yang dihormati oleh rakyat Indonesia.
Menurut laporan media tempatan sekitar 50 pegawai polis dikerah untuk memastikan bantahan berjalan secara aman.
Di Medan, CNN Indonesia melaporkan penunjuk perasaan yang juga anggota Perikatan Pertubuhan Islam Sumatera Utara, membawa sepanduk, termasuk beberapa yang menunjukkan duta Singapura ke Jakarta perlu diusir.
Seorang wakil kumpulan itu dilaporkan berkata, keputusan Singapura menyakiti perasaan umat Islam dan menjejaskan kedaulatan Indonesia.
"Kami adalah negara besar. Singapura adalah negara kecil. (Kedua-duanya) harus berdiri tegak bersama-sama," katanya menurut CNN Indonesia.
Selain Singapura, lima negara lain juga pernah menolak pendakwah itu memasuki negara masing-masing atas sebab yang sama, lapor CNNIndonesia.
Negara-negara itu ialah Timor Leste, Hong Kong, England, Jerman serta Switzerland melalui Belanda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.