Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengikut Hadi Minallah cuba sebar ajaran sesat di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Pengikut Hadi Minallah cuba sebar ajaran sesat di Johor

Tangkapan skrin video majlis perhimpunan yang dianjurkan kumpulan ajaran Hadi Minallah di Langkawi pada Jun lalu. Gambar kecil: Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid. (Gambar: Agensi berita)

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan terdapat percubaan untuk menyebarkan ajaran sesat Hadi Minallah di negeri berkenaan, lapor Sinar Harian. 

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, terdapat percubaan anggota ajaran sesat berkenaan menyebarkan fahaman terbabit di daerah Kota Tinggi.

"JAINJ dapat maklumat ajaran ini cuba dibawa masuk ke Johor dan dikesan di Kota Tinggi. Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan.

"Menerusi siasatan yang dilakukan, mereka bukan orang Johor pun (percubaan sebarkan ajaran sesat) cuma penganutnya sahaja baru cuba masuk ke Johor, namun kita sedang menyiasat dan mencegah perkara ini dari terus berleluasa," katanya, seperti dipetik Sinar Harian. 

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada Ahad (14 Ogos). 

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada ajaran sesat itu cuba menjadikan Johor sebagai markas penyebaran ajarannya, Encik Mohd Fared berkata, mereka belum sampai ke tahap itu.

"Mereka belum sampai peringkat tubuhkan markas tetapi kita tahu mereka baru masuk dan merisik untuk cari pengaruh bagi menyebarkan ajaran sesat itu. Pergerakan dan perkembangan kumpulan ajaran ini sentiasa diperhatikan.

"Cuma satu yang hendak dipesan kepada rakyat Johor adalah ajaran ini dibawa dari negara jiran dan pengasas itu juga bukan beragama Islam, jadi mengapa kita nak percaya pada ajaran yang dibawanya serta nak bercerita tentang agama kita pula," katanya seperti dinukil Sinar Harian. 

Dalam pada itu, Encik Mohd Fared turut memberi peringatan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan ajaran sesat di negeri tersebut. 

"Saya nak beri peringatan pada siapa juga yang terdetik nak sebarkan mana-mana pun ajaran yang bersalahan dengan Islam bahawa kita ada Sesyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor.

"Menjadi suatu kesalahan menyebarkan doktrin agama selain Islam. Berwaspada dan jangan dekati sebarang ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Ia boleh didakwa di bawah enakmen itu malah boleh didakwa menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Sebelum itu pada 4 Ogos lalu tular video selama tujuh minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Menerusi video terbabit, terdapat dakwaan ajaran sesat tersebut sedang aktif di Kajang dan Johor.

Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilaporkan sudah mengenal pasti lokasi pusat operasi kumpulan ajaran sesat Hadi Minallah. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan