Pengiktirafan Bukit Golan milik Israel tingkat ketegangan, menurut Kuwait
Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap kedaulatan Israel di Bukit Golan akan terus meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan timbalan menteri luar Kuwait pada Isnin (25 Mac).

Pandangan bandar Majdal Shams dekat Bukit Golan. (Gambar: Ammar Awad/Reuters)
BANDAR KUWAIT: Pengiktirafan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap kedaulatan Israel di Bukit Golan akan terus meningkatkan lagi ketegangan dalam proses damai, lapor agensi berita China Xinhua yang memetik kenyataan timbalan menteri luar Kuwait pada Isnin (25 Mac).
Encik Khaled Al-Jarallah membuat kenyataan itu di luar upacara yang diadakan di Kedutaan Greece di Kuwait sempena hari kebangsaan negara Eropah itu.
"Kami menjangkakan dan berharap akan ada langkah yang diambil bagi meredakan ketengangan di rantau ini. Malangnya, langkah ini akan terus membawa kepada ketegangan dan kemerosotan dalam proses damai yang belum mampu dihuraikan," katanya.
Bukit Golan adalah wilayah Syria dan tindakan Amerika Syarikat melanggar undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang Majlis Keselamatan PBB, kata Encik Khaled.
Menyentuh mengenai sidang puncak Arab yang dijadualkan berlangsung pada akhir Mac di Tunisia, beliau berkata sidang puncak itu akan membincangkan beberapa topik termasuk isu Palestin, krisis Syria, keadaan di Libya dan Yaman serta pengiktirafan Amerika Syarikat bahawa Bukit Golan adalah sebuah wilayah Israel.
Pada Isnin (25 Mac), Encik Trump menandatangani satu pengisytiharan yang mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Bukit Golan.
Israel merampas Bukit Golan daripada Syria dalam perang Timur Tengah 1967 dan menawannya pada 1980-an, namun masyarakat antarabangsa tidak pernah mengiktiraf langkah tersebut.
LAPORAN BERKAITAN:
Trump tandatangan pengiktirafan Bukit Golan milik Israel
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.