Skip to main content

Dunia

Pengharaman kumpulan Palestine Action langgar hak asasi: PBB

Tindakan Britain mengharamkan kumpulan Palestine Action disifatkan sebagai “penyalahgunaan undang-undang antikeganasan yang membimbangkan”, menurut Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengharaman kumpulan Palestine Action langgar hak asasi: PBB

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk. (Gambar fail: REUTERS)

LONDON: Tindakan Britain mengharamkan kumpulan Palestine Action disifatkan sebagai “penyalahgunaan undang-undang antikeganasan yang membimbangkan”, menurut Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Demikian menurut laporan PA Media/dpa.

Encik Volker Turk menggesa kerajaan United Kingdom supaya menarik balik pengharaman itu, yang disifatkan beliau sebagai “tidak seimbang dan tidak perlu” dalam satu kenyataan pada Jumaat (25 Jul).

Kerajaan Britain mengambil langkah mengisytiharkan Palestine Action sebagai pertubuhan pengganas selepas kumpulan itu mengaku bertanggungjawab merosakkan dua pesawat di Pangkalan Udara RAF Brize Norton pada 20 Jun lalu.
Dengan pengharaman itu, keahlian atau sokongan terhadap Palestine Action kini menjadi satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun.

Pengasas bersama kumpulan itu, Huda Ammori, sedang mencabar pengharaman tersebut melalui tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi.

Encik Turk, seorang peguam dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, menggesa kerajaan Britain agar “menarik balik keputusan tersebut.”

“Keputusan itu dilihat tidak seimbang dan tidak perlu.

“Ia menyekat hak ramai individu yang terlibat atau menyokong Palestine Action, yang sebenarnya tidak melakukan sebarang jenayah, sebaliknya hanya menggunakan hak mereka untuk bersuara, berhimpun secara aman dan berpersatuan,” kata Encik Turk.

Beliau turut menggesa kerajaan Britain supaya “menarik balik keputusan mengharamkan Palestine Action serta menghentikan siasatan dan prosiding lanjut terhadap penunjuk perasaan yang ditahan atas dasar pengharaman ini.”

“Saya juga menggesa kerajaan Britain agar menyemak semula dan meminda undang-undang antikeganasan mereka, termasuk definisi perbuatan pengganas, agar sejajar sepenuhnya dengan norma dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa,” tambah beliau.

Encik Turk turut mengkritik undang-undang domestik Britain yang menurutnya mentakrifkan perbuatan pengganas secara “terlalu luas”, termasuk kerosakan serius terhadap harta benda.

“Menurut piawaian antarabangsa, perbuatan pengganas seharusnya terhad kepada tindakan jenayah yang bertujuan menyebabkan kematian, kecederaan serius, atau penahanan tebusan, bagi tujuan menakutkan orang awam atau memaksa kerajaan melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan,” jelas beliau.

Pihak kerajaan sudah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita