Penghantaran vaksin COVID-19 Novavax semakin perlahan; harga saham merosot

(Gambar: Justin Tallis/AFP)
WASHINGTON: Novavax pada Isnin (9 Mei) mendedahkan kemerosotan ketara pada pembiayaan dana bagi kerja-kerja penyelidikan COVID-19 pada suku pertama tahun ini.
Pada masa yang sama, ia menghantar kurang daripada satu perempat daripada jumlah keseluruhan vaksin yang dijadualkan bagi 2022. Ini mengakibatkan saham syarikat tersebut merosot hampir 16 peratus.
Novavax menjual hampir 31 juta dos vaksin pada suku pertama, sebahagian kecil daripada 2 bilion dos yang dirancang untuk dijual ke seluruh dunia pada 2022.
Novavax meramalkan pendapatan antara AS$4 bilion (S$5.5 bilion) hingga AS$5 bilion (S$6.9 bilion) tahun ini, dengan penjualan dan penghantaran ke pasaran-pasaran utama dijangka meningkat pada suku kedua.
"Kami menjangkakan peningkatan dalam pasaran tersebut dalam masa beberapa bulan mendatang disebabkan oleh permintaan yang diramal akan terus meningkat dengan lonjakan kes COVID-19 di merata dunia," kata ketua pegawai komersial Novavax, John Trizzino.
Kenyataan yang dikeluarkan itu bercanggah dengan nasib yang menimpa syarikat-syarikat lain yang memaklumkan bahawa permintaan bagi produk COVID-19 mereka semakin melemah disebabkan oleh lebihan bekalan vaksin global dan jumlah kes yang mungkin akan terus merosot.
Pendapatan geran Novavax dari pemerintah Amerika Syarikat dan Perikatan bagi Inovasi Kesediaan Epidemik merosot hampir 78 peratus kepada AS$99 juta (S$137.8 juta).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.