Skip to main content

Dunia

Penghantaran guna dron di Indonesia, penghubung pesakit COVID-19 yang asingkan diri

Sekumpulan penggiat dron di Indonesia memanfaatkan kemahiran mereka menerbangkan alat itu untuk menghulurkan bantuan sewaktu pandemik ini. Mereka menyediakan khidmat penghantaran ubatan-ubatan dan makanan tanpa kontak kepada pesakit COVID-19 yang sedang menjalani pengasingan di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Penghantaran guna dron di Indonesia, penghubung pesakit COVID-19 yang asingkan diri

Para relawan menerbangkan dron untuk menghantar ubat-ubatan kepada para pesakit COVID-19 di Makassar, Indonesia. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 11:18PM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 11:24PM

MAKASSAR: Sekumpulan penggiat dron di Indonesia memanfaatkan kemahiran mereka menerbangkan alat itu untuk menghulurkan bantuan sewaktu pandemik ini. Mereka menyediakan khidmat penghantaran ubatan-ubatan dan makanan tanpa kontak kepada pesakit COVID-19 yang sedang menjalani pengasingan di rumah.

Dengan menggunakan lima dron, tujuh anggota pasukan itu bekerja siang dan malam di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan sejak awal Julai untuk menyediakan khidmat penghantaran.

Cik Hartati yang bersama keluarganya sedang menjalani tempoh pengasingan sendiri sejak diuji positif COVID-19 pada pertengahan Ogos, menyambut baik khidmat berdaya inovatif itu.

"Saya rasa ubat-ubatan yang dihantar menggunakan dron lebih steril," kata suri rumah 50 tahun itu sambil menarik perhatian bagaimana sistem tersebut mengelak daripada perlunya sebarang kontak fizikal apabila menerima barangan tersebut.

Keluarga empat beranak itu tinggal di sebuah kawasan di mana sehingga 80 peratus penduduknya positif COVID-19, menurut data pasukan bertindak koronavirus Makassar. Indonesia adalah salah sebuah negara di Asia yang paling teruk terjejas akibat pandemik itu.

Pasukan 'Perubatan Dron Pemulihan Makassar' sedang bekerjasama dengan pasukan bertindak tempatan untuk menghantar ubat-ubatan sekurang-kurangnya lima kali sehari, kata pengasas dan penyelaras Encik Muhammad Dasysyara Dahyar. Ketika kemuncak penularan virus itu pada Julai, pasukan tersebut membuat sehingga 25 pusingan penghantaran sehari.

Related article image

Sekatan pergerakan masih dikekalkan di kebanyakan bandar di Indonesia termasuk Makassar sebagai usaha membendung gelombang teruk jangkitan COVID-19 yang diburukkan lagi oleh varian Delta.

Indonesia melaporkan lebih empat juta kes jangkitan dan 131 kematian sejak pandemik melanda.

Datuk Bandar Makassar Mohammad Ramdhan Pomato berkata bahawa pihak berkuasa merancang untuk meluaskan penggunaan dron ke pulau-pulau berdekatan dan juga membuat penghantaran kepada sekitar 800 penduduk yang sedang menjalani pengasingan di dalam sebuah kapal yang berlabuh dekat Makassar.

"Jarak setiap dron adalah sekitar tujuh kilometer, jadi ia boleh sampai ke pulau-pulau itu," kata Encik Ramdhan.

Dron-dron itu juga membantu memantau lalu lintas dan pergerakan orang ramai di bandar berkenaan serta mengenal pasti kawasan-kawasan yang harus disasarkan untuk menjalani ujian COVID-19.

"Kami bangga dapat menjalankan misi ini. Bukan selalu kami diperlukan dan mengambil bahagian dalam pengurusan bencana untuk membendung penularan COVID-19," kata pengasas pasukan dron itu, Encik Dahyar.  

Sumber : Reuters/SM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita