Penghambaan moden kian meningkat dek krisis, kemiskinan, dedah laporan PBB
Jumlah orang yang dipaksa menghambakan diri dek kemiskinan dan krisis lain meningkat sebanyak 20 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepada sekitar 50 juta orang pada mana-mana hari tertentu, menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin (12 Sep).
Ibu pejabat PBB di New York. (Gambar fail: AFP)
Lebih separuh daripada mereka dipaksa bekerja bukan atas kehendak diri sendiri dan selebihnya pula dipaksa berkahwin, menurut ILO.
Kedua-dua keadaan itu tergolong di bawah takrifan penghambaan moden kerana ia melibatkan individu yang "tidak boleh menolak atau tidak boleh meninggalkan pekerjaan kerana ancaman, kekerasan, penipuan, salah guna kuasa dan bentuk paksaan lain", tambahnya.
Keadaan itu diburukkan lagi dengan krisis seperti COVID-19, konflik bersenjata dan perubahan iklim yang menyebabkan lebih ramai orang terjerumus ke dalam kemiskinan melampau dan memaksa lebih ramai orang berhijrah, menurut agensi tersebut.
Pengarah Agung ILO Guy Ryder menggesa agar amalan pengambilan pekerja dan pemeriksaan buruh ditambah baik.
Beliau berkata langkah-langkah perdagangan, seperti mengharamkan produk dan import yang dibuat dengan menggunakan tenaga buruh paksaan yang buat masa ini disemak oleh Kesatu Eropah (EU), juga boleh membantu.
Jumlah orang yang terlibat dalam penghambaan moden meningkat sekitar 9.3 juta berbanding kiraan terakhir pada 2016, menurut laporan tersebut.
ILO, yang meletakkan sebahagian anggarannya berdasarkan tinjauan isi rumah, mendapati lebih separuh daripada buruh paksaan berlaku di negara-negara berpendapatan pertengahan atas atau tinggi, dengan pekerja hijrahan berkemungkinan tiga kali terjejas berbanding penduduk tempatan.
Dalam bahagian berasingan laporan itu, ILO menyatakan Qatar - yang berdepan dakwaan pencabulan hak buruh berkaitan pekerja hijrahan yang bekerja menjelang Piala Dunia bola sepak pada November - sudah membuat "kemajuan ketara" sejak pembukaan sebuah pejabat ILO di sana pada April 2018.
Ketua Eksekutif Qatar 2022 Nasser Al Khater Qatar berkata pada Khamis (8 Sep) bahawa negara itu menghadapi banyak kritikan tidak adil, yang tidak berdasarkan fakta, berhubung ia menjadi tuan rumah Piala Dunia.
Laporan ILO juga menarik perhatian kepada keprihatinan mengenai tuduhan buruh paksaan di beberapa bahagian China.
Ia merujuk kepada satu laporan yang dikeluarkan oleh pejabat hak asasi PBB pada 31 Ogos yang menyatakan "pencabulan serius hak asasi manusia" berlaku di China dan penahanan Uighur serta penduduk Muslim lain di Xinjiang boleh membentuk jenayah terhadap kemanusiaan.
China menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan pada bulan lalu, mengesahkan dua konvensyen terhadap buruh paksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.