Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penggunaan MyDigital ID untuk MyJPJ mulai 10 Okt dibatalkan, kata Menteri

Anggaran Waktu Membaca:
Penggunaan MyDigital ID untuk MyJPJ mulai 10 Okt dibatalkan, kata Menteri

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke menyaksikan pemeteraian perjanjian mengenai tempat-tempat meletak kereta berhubung projek RTS. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Oct 2024 07:46PM Dikemas Kini : 02 Oct 2024 08:28PM

PUTRAJAYA: Orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Okt ini, kata Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke.

Dalam sidang media pada Rabu (2 Okt), beliau berkata pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa. 

“Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Okt ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Okt ini.

MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara online.

Aplikasi MyJPJ digunakan untuk melihat dan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan seseorang, serta melihat sijil pemilikan kenderaan seseorang.

ID MyDigital ialah sistem serupa dengan sistem pengenalan Singpass Singapura.

Netizen mempersoalkan sebab sistem pengenalan ID MyDigital diwajibkan apabila aplikasi MyJPJ itu sering sangkut-sangkut dan perlahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul ('pop-up announcement') dalam aplikasi itu.

Tambahnya, arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta. 

“Maklumat yang disalurkan melalui 'pop-up' MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

“Saya lihat bahawa dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut),” katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Beliau berkata kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara ‘back-end’.

“Kita telahpun mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai 'log in' kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.

“Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara 'back-end',” katanya. 

 

Sumber : Bernama/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan