Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penggunaan ganja di Thailand bakal berubah selepas pilihan raya

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Membeli produk ganja di jalanan Bangkok atau Phuket mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Selepas empat tahun Parti Bhumjaithai meraih populariti hingga mendapat jutaan undi kerana berikrar mahu membenarkan penggunaan ganja, ia berkemungkinan akan menyaksikan gelombang tentangan dan penolakan besar.

Kebanyakan parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum pada Ahad (14 Mei) memperjuang langkah untuk menilai semula atau mengekang kebebasan dan kebenaran penggunaan ganja bagi tujuan perubatan, lapor BangkokPost seperti dipetik laporan Astro Awani.

Seorang calon perdana menteri daripada Parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra, meyakinkan penyokongnya tentang keperluan dasar kerajaan untuk mengawal penggunaan dadah. Parti itu menunjukkan rekod sokongan yang semakin meluas, malah mencatatkan kemenangan di banyak kawasan sebelum ini.

“Saya tidak mahu anak-anak saya membesar dalam sebuah negara yang mudah mendapatkan dadah, sementara (penggunaan) ganja pula dilonggarkan,” ujarnya.

Sejak ganja tidak lagi dikategorikan sebagai dadah terlarang sekitar setahun lalu, ia menjadi isu yang memecahbelahkan parti-parti politik dan juga lebih 52 juta pengundi berdaftar di Negara Gajah Putih itu, lapor Astro Awani.

Pihak yang menentang mengetengahkan banyak bukti dan alasan berkaitan kesan sosial yang negatif berhubung bahan berkenaan.

Selain itu, sejak ganja mendapat ‘lampu hijau’, kekecewaan terus berlaku dari segi perundangan kerana tidak ada rang undang-undang khusus berkenaan tata kelola yang berjaya dibentang dan diluluskan untuk tujuan pengawalannya.

Pada masa yang sama, industri baru berkaitan ganja sudah wujud terlebih dahulu sebelum undang-undang dibuat.

Ia kemudian menyaksikan banyak pihak dalam kekeliruan tentang sejauh mana penggunaan rekreasinya dianggap sudah melanggar batas ‘tujuan perubatan’ itu sendiri.

Dengan peraturan yang amat longgar, industri ganja terus melonjak dengan penglibatan lebih sejuta petani menanam pokok ganja untuk keperluan kira-kira 4,500 dispensari, yang mengedar produk akhir ke seluruh pelosok negara.

Malah, Universiti Dewan Perniagaan Thai (UTCC) menganggarkan industri itu bakal bernilai AS$1 bilion (S$1.3 bilion) menjelang tahun 2025, menurut laporan Astro Awani.

Sekarang ini, semua orang yang terlibat dalam rantaian perbekalan sedang menunggu hasil keputusan pilihan raya hujung minggu ini.

Pemimpin Parti Bhumjaithai, Anutan Charnvirakul, sendiri mengakui dasar yang menyebelahi dasar ganja membantu partinya dalam pilihan raya sebelum ini. Dia berhasrat untuk meneruskan polisi itu, biarpun berdepan kumpulan-kumpulan parti pembangkang yang kuat dan menentang perkara itu.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan