Skip to main content

Dunia

Penggubal undang-undang EU gesa tangguh undian perjanjian dagang Amerika susuli ketidaktentuan tarif

Seorang penggubal undang-undang kanan Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad (22 Feb) mencadangkan supaya undian berhubung perjanjian perdagangan EU-Amerika Syarikat yang dijadualkan pada minggu ini ditangguhkan, dengan alasan bahawa syarat dan asas undang-undang perjanjian itu sudah berubah.
Anggaran Waktu Membaca:
Penggubal undang-undang EU gesa tangguh undian perjanjian dagang Amerika susuli ketidaktentuan tarif
Bendera Kesatuan Eropah berkibar di luar ibu pejabat Suruhanjaya Eropah di Brussels, Belgium, pada 20 Jun 2018. (Gambar fail: REUTERS/Yves Herman)
Diterbitkan : 22 Feb 2026 09:35PM
BRUSSELS: Seorang penggubal undang-undang kanan Kesatuan Eropah (EU) pada Ahad (22 Feb) mencadangkan supaya undian berhubung perjanjian perdagangan EU-Amerika Syarikat yang dijadualkan pada minggu ini ditangguhkan, dengan alasan bahawa syarat dan asas undang-undang perjanjian itu sudah berubah.

Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Jumaat membatalkan tarif global Presiden Donald Trump, sekali gus mendorong Encik Trump untuk mengenakan tarif sementara sebanyak 10 peratus, yang kemudian dinaikkannya kepada 15 peratus pada Sabtu.

“Kekacauan tarif yang teruk daripada pentadbiran Amerika Syarikat. Tiada siapa lagi yang dapat memahaminya - hanya persoalan terbuka dan ketidaktentuan yang semakin meningkat bagi EU dan rakan dagang Amerika Syarikat yang lain,” tulis Bernd Lange dalam satu catatan di platform X.

Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat bersetuju di padang golf Turnberry milik Encik Trump di Scotland pada Julai lalu berhubung satu perjanjian bagi mengelakkan perang perdagangan, di mana EU akan memansuhkan cukai import ke atas banyak produk Amerika sebagai pertukaran tarif Amerika Syarikat sebanyak 15 peratus ke atas kebanyakan eksport barangan EU.

Pengurangan cukai EU itu memerlukan kelulusan daripada pemerintah negara anggota EU dan parlimen Eropah.

Encik Lange menulis bahawa syarat perjanjian Turnberry serta asas undang-undang yang digunakan untuk mencapainya sudah berubah dan kini kejelasan diperlukan.

Parti European Greens turut menyatakan bahawa undian tersebut wajar ditangguhkan.

Parlimen Eropah bulan lalu menggantung kerjanya yang berkaitan dengan perjanjian itu sebagai bantahan terhadap tuntutan Presiden Donald Trump untuk memperoleh Greenland serta ancaman tarif terhadap sekutu Eropah yang menentang rancangan tersebut, namun kemudian memutuskan untuk membawa perjanjian itu ke peringkat undian pada penghujung Februari.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita