Penggodam cuba ugut pelanggan syarikat Oracle
Oracle pada Khamis (2 Okt) menyatakan pelanggan produk E-Business Suite syarikatnya “menerima emel ugutan”, mengesahkan amaran yang pada mulanya dikeluarkan Alphabet Google pada Rabu.
Logo Oracle kelihatan dalam ilustrasi yang dirakam pada 9 September 2025. (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
Dalam satu catatan blog, syarikat teknologi berpangkalan di California itu menyatakan siasatannya mendapati penggodam mungkin mengeksploitasi kerentanan perisian yang dikenal pasti sebelum ini dan menggesa pelanggan supaya menaik taraf produk mereka. Namun, Oracle tidak memberikan maklum balas segera apabila ditanya tentang berapa ramai pelanggan yang terjejas berikutan kejadian tersebut.
Google menggambarkan tindakan penggodaman itu sebagai “berskala besar,” namun enggan menghuraikan butiran lanjut. Cynthia Kaiser, ketua Pusat Penyelidikan Ransomware Halcyon, sebelum ini memberitahu Reuters bahawa syarikatnya melihat tuntutan ugutan bernilai antara jutaan hingga puluhan juta dolar, dengan tuntutan tertinggi mencecah AS$50 juta (S$64.44 juta).
Dalam mesej kepada Reuters, kumpulan perisian tebusan cl0p yang dikaitkan Google dengan kempen ugutan tersebut menyatakan bahawa Oracle “melakukan kesilapan,” tetapi menambah: “Kami belum bersedia untuk membincangkan butiran pada masa ini.”
Identiti dan lokasi ahli kumpulan tersebut tidak diketahui secara umum. Namun para penyelidik keselamatan sejak sekian lama mengenal pasti kumpulan itu sebagai sekumpulan yang ada kaitannya denganRusia atau berbahasa Rusia. Ia merupakan kumpulan yang menyediakan perisian tebusan sebagai perkhidmatan, dengan menyewakan perisian dan infrastrukturnya kepada penjenayah siber lain sebagai tukaran untuk sebahagian daripada hasil yang diperoleh.
Syarikat keselamatan siber Jepun, Trend Micro, sebelum ini menggambarkan cl0p sebagai “pencetus trend dengan taktik yang sentiasa berubah-ubah.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.