Penggemar maraton Ganjar Pranowo sedia berlumba menjadi presiden ke-8 Indonesia
(Gambar fail: CNA/Danang Wisanggeni)
MERAUKE: Matahari belum terbit sepenuhnya di Merauke, bandar di timur Indonesia yang terletak di wilayah Selatan Papua. Namun, bagi Encik Ganjar Pranowo, salah satu daripada tiga calon presiden pilihan raya Indonesia tahun depan, beliau sudah siap sedia untuk memulakan harinya.
Tarikh menunjukkan 29 November, hari kedua di mana calon dibenarkan untuk berkempen selama 75 hari, dan Encik Ganjar berpakaian baju-t lengan panjang hitam, seluar larian pendek dan "legging" untuk memulakan rutin paginya, dengan aktiviti berjalan dan berlari.
Sehari sebelum itu, Encik Ganjar dan pasukannya tiba di Merauke selepas menaiki penerbangan langsung dari Jakarta pada pukul 1.00 pagi, dan mendarat enam jam kemudian.
Jarak dari Jakarta ke Merauke adalah kira-kira 3,700 kilometer, bersamaan dengan jarak antara Jakarta dengan Taipei.
"Berkempen atau tidak berkempen, saya harus bersenam untuk kekal sihat," kata Encik Ganjar, dan menambah bahawa beliau sudah menyertai banyak maraton sejak 20 tahun yang lalu.
“Saya harus melatih diri saya, saya harus berdisiplin. Sama seperti beliau,” kata Encik Ganjar sambil menunjuk kepada Encik Andika Perkasa, timbalan pengerusi pasukan kempennya yang sedang berjalan bersamanya.
Encik Andika, seorang mantan ketua tentera Indonesia yang bersara pada 2022, dikenali sebagai seorang atlit yang gemar mengangkat berat.
PELARI MURAH SENYUMAN BERCITA-CITA TINGGI
Dengan sokongan parti politiknya, Encik Ganjar memulakan kempennya dalam usaha untuk menjadi presiden Indonesia seterusnya di wilayah Papua yang bergolak.
Akses kepada penjagaan kesihatan dan pendidikan terhad, serta kekurangan infrastruktur merupakan masalah yang dialami penduduk tempatan di bandar dan wilayah miskin dengan kira-kira 240,000 penduduk.
Semasa berlari pada pagi itu, Encik Ganjar berhenti dan melambai ke arah orang yang lalu lalang, dan sesekali bercakap dengan beberapa orang.
“Saya pernah berbasikal. Tetapi pada satu hari, saya jatuh … Jadi isteri saya berkata: 'Mari kita lakukan perkara yang lain'. Sejak (kejadian 20 tahun lalu), kami mula berjalan atau berlari, atau, jika saya tidak mempunyai masa yang banyak, saya akan berenang,” katanya kepada Mediacorp, yang menemaninya untuk bersenam secara eksklusif pada pagi itu.

Meskipun jadualnya padat dan perjalanan yang panjang ke Merauke, Encik Ganjar kelihatan ceria ketika berinteraksi dan mengadakan lawatan tidak dirancang. Sifat tersebut diterapkan sepanjang 10 tahun beliau memegang jawatan gabenor Jawa Tengah, yang tamat pada September tahun ini.
Beliau tetap bersenyum dan kelihatan ceria ketika menjawab soalan yang dielak anggota PDI-P, iaitu mengenai Presiden Joko Widodo.
Encik Jokowi merupakan anggota parti politik yang sama dengan Encik Ganjar, namun seakan-akan beliau tidak menyokong rakannya untuk pilihan raya tahun depan.
Anak lelaki Encik Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 36 tahun, merupakan calon naib presiden bersama Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto, 72 tahun, yang juga pengerusi parti ketiga terbesar Indonesia, Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).
Encik Prabowo sedang bertanding untuk menjadi presiden buat kali ketiga, selepas dikalahkan dua kali oleh Encik Jokowi pada 2014 dan 2019.
Meskipun Encik Jokowi berkata beliau menyokong semua calon, ramai yang percaya bahawa beliau menyokong anaknya dan Encik Prabowo.
Ini bermakna, beliau menyimpang daripada keinginan PDI-P, parti yang menyebabkannya menjawat jawatan tertinggi.
Tindakan tersebut memberi kesan kepada pelbagai pihak,terutamanya kepada mereka yang berada dalam PDI-P. Beberapa penganalisis percaya ia merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap parti itu.
Tetapi, adakah Encik Ganjar terkejut?
“Setiap kali adanya pilihan raya, sudah tentu ada kejutan. Namun saya sedar sepenuhnya bahawa seseorang itu mempunyai hak untuk mengundi dan mempunyai pendirian politik,” katanya kepada Mediacorp sambil tersenyum.
BEKERJA KERAS NAMUN MASIH KETINGGALAN JAUH
PDI-P mengumumkan Encik Ganjar sebagai calon presiden parti itu pada April.
Beliau merupakan individu ketiga dan terakhir diumumkan sebagai calon presiden, selepas Encik Prabowo mengisytiharkan hasratnya untuk bertanding semula pada Ogos tahun lalu.
Mantan gabenor Jakarta Anies Baswedan merupakan individu kedua, setelah ia disahkan oleh parti keempat terbesar di negara itu, Partai Demokratik Nasional (Nasdem), pada Oktober 2022.
Apabila Encik Ganjar diumumkan buat pertama kali oleh pengerusi PDI-P, Megawati Soekarnoputri, sebagai calon parti, beliau mendahului beberapa tinjauan sebagai calon presiden paling popular.
Sekalipun demikian, keadaan berubah bagi Encik Ganjar, dan populariti beliau mula merosot selepas Encik Jokowi mula menunjukkan tanda-tanda bahawa beliau lebih cenderung kepada Encik Prabowo, lalu mencetuskan sokongan kepada Menteri Pertahanan Indonesia.
Ketika Encik Prabowo mengumumkan Encik Gibran, anak lelaki Encik Jokowi, sebagai pasangannya pada Oktober, beberapa tinjauan menunjukkan beliau mendahului calon lain, mengatasi Encik Ganjar.
BACA:
“Kita sudah melalui masa gelap demokrasi berkali-kali. Dan kami sudah melalui semuanya,” kata Encik Ganjar, dengan keyakinan bahawa mereka juga akan mengharungi kemunduran yang dilalui ketika ini.
BERKEMPEN DARI TIMUR KE BARAT
Encik Ganjar mengadakan kempen pertamanya di Merauke, bukan tanpa sebarang sebab.
Rakannya, calon naib presiden Mahfud MD, Menteri Penyelaras Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, mula berkempen dari hujung Indonesia di Sabang, wilayah Aceh.
“Kami sengaja memilih dua lokasi ini di Indonesia, satu di hujung (timur) di mana matahari terbit, satu lagi di hujung barat kerana kami ingin menyatukan Indonesia, seperti prinsip ketiga (ideologi lima prinsip Indonesia),” kata Encik Ganjar pada hari pertama berkempen di daerah terpencil dan tidak dibangunkan, Semangga, Wilayah Merauke.
Selepas melawat Semangga, Encik Ganjar pulang ke Bandar Merauke untuk mengadakan dialog bersama golongan belia.
Pada pilihan raya tahun depan, 204.8 juta orang layak untuk mengundi, dan lebih separuh jumlah tersebut adalah golongan muda berusia antara 17 sehingga 42 tahun.

Encik Ganjar juga bertemu ketua Katolik tempatan Archbishop Mgr Petrus Canisius Mandagi. Tidak seperti kebanyakan bahagian Indonesia yang kebanyakannya beragama Islam, penduduk wilayah Papua kebanyakannya beragama Kristian.
Ketika bertemu Encik Ganjar, ketua biskop itu menzahirkan kekagumannya kepada Encik Ganjar dan calon naib presidennya Encik Mahfud.
METALLICA DAN MEGAWATI
Dilahirkan di Karanganyar, Jawa Tengah, ayah Encik Ganjar merupakan seorang pegawai polis berpangkat rendah.
Encik Ganjar memberitahu Mediacorp bahawa beliau ingin mengikut jejak langkah ayahnya, namun gagal dalam peperiksaan kemasukan polis sebanyak dua kali.
Beliau kemudiannya mempelajari undang-undang di Universiti Gadjah Mada di Yogyakarta, dan mengembangkan minatnya untuk lebih aktif dalam pertubuhan.
Sebagai seorang pelajar, beliau mengambil bahagian dalam pelbagai tunjuk perasaan, termasuk satu tunjuk perasaan membantah penduduk yang diusir untuk projek kolam air tempatan.
Bagaimanapun, Encik Ganjar memberitahu Mediacorp bahawa beliau sedar dirinya harus berada dalam sistem untuk memulakan perubahan sebenar.
Oleh itu, beliau menyertai PDI-P pada 1992, yang dikenali sebagai PDI ketika itu.
Pada tahun 1996, PDI mengalami konflik dalaman, yang menyebabkan dua pihak ditubuhkan.
Satu diketuai oleh ahli politik Soerjadi, disokong oleh pemerintahan Suharto, dan satu lagi oleh Cik Megawati yang akhirnya menubuhkan PDI-P.
Encik Ganjar tetap setia dengan Megawati, dan beberapa tahun kemudian menjadi penggubal undang-undang dan seterusnya gabenor Jawa Tengah dengan sokongannya.
Namun begitu, ketika Encik Ganjar berkata bahawa beliau bersedia untuk bertanding jawatan presiden pada Oktober tahun lalu, beliau terpaksa memohon maaf.
Ia dipercayai bahawa Cik Megawati tidak senang dengan keputusan Encik Ganjar untuk bertanding, kerana beliau sendiri yang membuat keputusan di PDI-P.
Meskipun begitu, Encik Ganjar, yang juga peminat kumpulan Metallica, seperti Encik Jokowi, menjadi satu-satunya calon presiden parti tersebut.
Walaupun kebanyakan tinjauan menunjukkan beliau ketinggalan di belakang Encik Prabowo, adakah Encik Ganjar akan menjadi presiden kedua yang meminati Metallica di Indonesia?
"InsyaAllah, kita optimis kerana kita sudah menyediakan penyokong dengan kekuatan dari parti politik dan sukarelawan," katanya kepada Mediacorp.
"Dan ingat, masih ramai di antara mereka yang masih belum membuat keputusan, dan ini adalah apa yang sedang diusahakan secara berterusan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.