Pengganas serangan masjid Christchurch pertimbang kemukakan rayuan terhadap hukuman
Pengganas yang menyerang masjid di Christchurch sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup, atas alasan pengakuan bersalah yang dibuatnya menyusuli kejadian tembakan pada 2019 dibuat di bawah tekanan, kata peguamnya pada Isnin (8 Nov).

Pengganas di sebalik serangan masjid Christchurch, Brenton Tarrant, di mahkamah pada 16 Mac 2019. (Gambar: Mark Mitchell/POOL/AFP)
WELLINGTON: Pengganas yang menyerang masjid di Christchurch sedang mempertimbangkan untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup, atas alasan pengakuan bersalah yang dibuatnya menyusuli kejadian tembakan pada 2019 dibuat di bawah tekanan, kata peguamnya pada Isnin (8 Nov).
Brenton Tarrant mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 dakwaan percubaan membunuh dan satu dakwaan keganasan tahun lalu.
Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa pembebasan bersyarat, kali pertama hukuman penjara seumur hidup dijatuhkan di New Zealand.
Tarrant tidak menawarkan sebarang pembelaan pada masa itu tetapi peguamnya Tony Ellis berkata warga Australia itu mempersoalkan keputusannya untuk mengaku bersalah.
Encik Ellis berkata lelaki berusia 31 tahun itu, memberitahu beliau pengakuan itu dibuat di bawah tekanan kerana dia diberi "layanan yang tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah dirinya" semasa ditahan reman.
"Dia memutuskan bahawa jalan keluar paling mudah ialah mengaku bersalah," kata Encik Ellis kepada Radio New Zealand.
Encik Ellis dilaporkan mengambil alih sebagai peguam Tarrant sebelum siasatan koroner ke atas insiden tembakan pada Mac 2019 itu dan menasihatkan anak guamnya supaya memanfaatkan haknya untuk mengemukakan rayuan.
"Dia dijatuhi hukuman lebih 25 tahun, itu adalah hukuman tanpa harapan dan itu tidak dibenarkan, itu adalah pelanggaran Rang Undang-undang Hak," kata Encik Ellis.
Berbekalkan senjata separa automatik, Tarrant menyerang jemaah Jumaat di masjid Al Noor Christchurch, sebelum bergerak ke pusat sembahyang di Linwood, menyiarkan secara langsung pembunuhan itu semasa dia melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Mangsanya semuanya beragama Islam dan termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.
New Zealand tidak mempunyai hukuman mati dan dalam menjatuhkan hukuman pada Ogos tahun lalu, Hakim Cameron Mander berkata beliau mengenakan hukuman paling keras terhadap tindakan "tidak berperikemanusiaan" Tarrant.
"Jenayah anda sangat kejam, walaupun anda ditahan sehingga anda mati, ia tidak akan setimpal dengan hukuman dan kecaman sewajarnya," kata Hakim Mander ketika itu.
Encik Ellis enggan mengulas ketika dihubungi AFP, dengan berkata anak guamnya mengarahkannya untuk bercakap hanya dengan media tempatan terpilih.
Mahkamah Koroner tidak segera menjawab permintaan untuk memberi ulasan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.