Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengganas haluan kanan NZ akan dijatuhi hukuman pada Ogos atas serangan masjid

Seorang pelampau haluan kanan kulit putih warga Australia yang membunuh 51 orang Islam dalam serangan masjid New Zealand tahun lalu akan dijatuhi hukuman bulan depan setelah penangguhan akibat pandemik COVID-19, menurut dokumen mahkamah pada Jumaat (3 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Pengganas haluan kanan NZ akan dijatuhi hukuman pada Ogos atas serangan masjid

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Jul 2020 12:31PM Dikemas Kini : 03 Jul 2020 12:32PM

WELLINGTON: Seorang pelampau haluan kanan kulit putih warga Australia yang membunuh 51 orang Islam dalam serangan masjid New Zealand tahun lalu akan dijatuhi hukuman bulan depan setelah penangguhan akibat pandemik COVID-19, menurut dokumen mahkamah pada Jumaat (3 Jul).

Pelampau haluan kanan ekstrim, Brenton Tarrant disabit kesalahan pada Mac atas 51 tuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan satu berkaitan pengganasan, setelah dia mengubah pengakuan tidak bersalah sebelum ini.

Ketika itu, New Zealand berada di bawah sekatan COVID-19, dan para mangsa terselamat dan keluarga mangsa terkorban tidak dapat hadir ke mahkamah untuk melihatnya dijatuhkan hukuman.

Sejak itu New Zealand berjaya membendung virus tersebut, yang membenarkan peraturan jarak sosial ditarik balik, yang menurut hakim Mahkamah Tinggi Cameron Mander membuka laluan untuk Tarrant dijatuhkan hukuman pada 24 Ogos.

"Orang ramai dan, yang penting, mangsa dan keluarga mereka yang tinggal di New Zealand dapat menghadiri sidang mahkamah," kata Hakim Mander.

Beliau berkata tiga hari telah ditetapkan untuk penjatuhan hukuman tersebut tetapi menambah "perbicaraan akan berlangsung seberapa lama yang diperlukan".

New Zealand tidak mempunyai hukuman mati namun Tarrant, bekas jurulatih gim dari bandar Grafton, Australia, menghadapi kemungkinan dipenjara seumur hidup.

Semua tuduhan pengganasan dan pembunuhan itu membawa hukuman penjara seumur hidup dan tempoh minimum 17 tahun tanpa dibebaskan lebih awal tetapi memberi hak kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman penjara tanpa kemungkinan dia dibebaskan.

Hakim Mander berkata beberapa mangsa yang berada di luar negara mahu hukuman ditangguhkan sehingga mereka dapat menghadirkan diri secara peribadi, tetapi beliau berkata sempadan negara kemungkinan besar akan terus ditutup buat tempoh yang lama.

Beliau berkata bahawa penstriman secara langsung boleh disediakan untuk mereka yang berada di luar negara.

Beliau berkata ramai mangsa lain mendapati kes itu sudah lama berlarutan dan "meletihkan" dan mahu ia segera berakhir.

"Mereka berharap hukuman dijatuhkan secepat mungkin," katanya.

"Beberapa pihak menganggap satu penutup adalah cara terbaik untuk memberi kelegaan kepada masyarakat Islam."

Tarrant menggunakan senjata separa-automatik untuk menyerang masjid Al Noor sebelum meneruskan serangannya di Pusat Islam Linwood, sambil menyiarkan tindakan pembunuhannya secara langsung.

Kesemua mangsanya beragama Islam dan termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua.

Berikutan tindakan serangannya itu, New Zealand mengetatkan undang-undang senjata api dan meningkatkan usaha untuk membendung unsur pelampau online.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan