Skip to main content

Dunia

Pengesahan sijil halal M'sia boleh disemak di portal, kata Menteri Ehwal Agama

Senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh didapati di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengesahan sijil halal M'sia boleh disemak di portal, kata Menteri Ehwal Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 02 Feb 2021 03:20PM Dikemas Kini : 02 Feb 2021 03:22PM

KUALA LUMPUR: Senarai penuh 318 pengimport daging berlesen yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) boleh didapati di portal Halal www.halal.gov.my atau aplikasi SmartHalal.

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam satu hantaran di laman Facebook pada Selasa (2 Feb), beliau berkata masyarakat Islam tidak perlu ragu dengan pengimport yang mempunyai sijil itu.

"Saya amat prihatin akan kebimbangan umat Islam dalam hal ini. KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) selaku agensi berautoriti telah melaksanakan prosedur yang tepat bagi pengurusan kes kartel daging import ini.

"Adalah sebaiknya proses penguatkuasaan dilaksanakan oleh mereka yang diberi kuasa mengikut lunas perundangan. Insya-Allah selepas selesai perbicaraan dan tindakan undang-undang di mahkamah, semuanya akan selesai," katanya.

Pada 1 Disember lalu,  negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

Pada 29 Januari, Dr Zulkifli berkata status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran boleh diperoleh dengan cepat dan mudah dengan hanya mengimbas QR Code pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ketika melancarkan kod berkenaan secara maya.

Sementara itu, beliau berkata rundingan meja bulat anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pengimport dan pengedar daging dan produk daging pada 11 Januari menghasilkan banyak keputusan yang bermanfaat untuk umat Islam di Malaysia.

Antara pemegang SPHM dalam kalangan pengimport daging berlesen yang hadir dalam pertemuan itu ialah GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Sushi King Sdn Bhd, Kyros Kebab Sdn Bhd, Melawati Kebab Sdn Bhd, Nusantara Meat Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd, Al-Hilal Food Processing Sdn Bhd, Macfood Services (M) Sdn Bhd dan Selamat Supplies Sdn Bhd.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan hasil rundingan itu yang turut melibatkan KPDNHEP, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta pihak berkepentingan dalam industri berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memuat naik aliran proses import daging ke Malaysia untuk pengetahuan orang ramai yang merangkumi empat langkah iaitu secara bersama, permit import, kawalan pintu masuk negara oleh dua agensi penguatkuasaan dan pasaran dengan setiap langkah menjadi tanggungjawab jabatan berkaitan.

Sumber : Bernama/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita