Skip to main content

Dunia

Pengerusi IJM Corporation ditahan SPRM

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi IJM Corporation ditahan SPRM
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita emas dan wang tunai pelbagai mata wang asing dalam siasatan kes rasuah membabitkan Tentera Darat Malaysia. (Gambar: Bernama)
PUTRAJAYA: Pengerusi IJM Corporation Bhd ditahan bagi membantu siasatan berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan dan urus niaga kewangan, termasuk pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion (S$806 juta), menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM memaklumkan suspek lelaki berusia lingkungan 70-an tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.00 malam Khamis (5 Feb) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas pemeriksaan dan penggeledahan dilakukan di kediamannya.

Dalam kenyataan pada 6 Februari, SPRM menyatakan bahawa pemeriksaan dan penggeledahan turut dijalankan di tiga lokasi lain, iaitu sebuah institusi pengurusan dana dan pelaburan, sebuah bank pelaburan serta kediaman suspek.

“Siasatan awal mendapati bank pelaburan berkenaan dilantik bagi menguruskan proses tawaran pengambilalihan terhadap IJM Corporation Bhd, termasuk urusan kawal selia dengan sebuah badan berkanun biaya kendiri,” tambahnya.

Menurut SPRM, Bahagian Operasi Khas (BOK) memulakan siasatan terhadap suspek pada 19 Januari lalu berhubung dakwaan berkaitan tadbir urus korporat, proses perolehan, urus niaga kewangan serta pemilikan aset di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion, yang berpotensi melibatkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan. 

Sehubungan itu, SPRM membekukan 70 akaun bank persendirian dan akaun syarikat yang dikaitkan dengan suspek, melibatkan jumlah kira-kira RM30.6 juta (S$9.8 juta).

SPRM turut memaklumkan siasatan memberi tumpuan kepada pengesanan dan penyitaan aset lain yang disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram, dengan 15 saksi termasuk isteri suspek telah dipanggil bagi dirakam percakapan setakat ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Beliau berkata suspek dilepaskan dalam tempoh 24 jam selepas keterangan diambil memandangkan individu berkenaan turut mengalami masalah kesihatan.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita