Pengerusi Bersatu Johor bayangkan rombakan kecil barisan kepimpinan parti
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baru dilantik, Encik Mazlan Bujang beri bayangan akan melakukan rombakan kecil barisan kepimpinan parti itu selepas beliau mengambil alih jawatan terbabit berkuatkuasa 25 Mei depan.
Mazlan Bujang. (Gambar: Bernama)
JOHOR BAHRU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baru dilantik, Encik Mazlan Bujang beri bayangan akan melakukan rombakan kecil barisan kepimpinan parti itu selepas beliau mengambil alih jawatan terbabit berkuatkuasa 25 Mei depan.
Encik Mazlan berkata rombakan kecil itu ekoran terdapat kekosongan jawatan Bendahari yang ditinggalkan beliau selepas ini.
“Ada sedikitlah (rombakan) sebab kebetulan ada kekosongan, saya bendahari sebelum ini…sekarang sudah dilantik jadi pengerusi, jadi ada kekosongan…ada sedikit rombakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Desa Sejahtera Muafakat Bersama Azman Hashim International Business School (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini (4 Mei).
Encik Mazlan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tebrau berkata tiada perubahan drastik akan berlaku dalam kepimpinan parti itu di negeri ini kerana jawatan Timbalan Pengerusi dipilih presiden parti manakala yang boleh diubah adalah jawatan Setiausaha dan Bendahari.
Beliau berkata soal jawatan Setiausaha dan Bendahari itu juga akan dilakukan menerusi perbincangan mesyuarat Bersatu negeri sekali gus demi menjaga keharmonian parti berkenaan.
“Saya akan bincang dalam mesyuarat, biar saya dapat majoritilah, keharmonian kena jaga dalam parti dan bila kita dilantik, sebagai orang atas… kita jangan syok sendiri, bila kita nak ikut cakap kita je, akhirnya nanti ia akan melemahkan parti kita,” katanya.
Ditanya pemberita mengenai pesanan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berhubung pelantikan sebagai pengerusi, Encik Mazlan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa berkata Dr Mahathir hanya mengucapkan tahniah dan menasihati supaya melakukan tugas dengan bersungguh-sungguh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.