Pengendalian dron tanpa permit dilarang sepanjang Sidang Puncak ASEAN: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyatakan sebarang pengendalian dron tanpa permit adalah dilarang sepanjang berlangsungnya Sidang Puncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 26 dan 27 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud. (Gambar: Bernama)
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Kapten Norazman Mahmud berkata sekatan atau larangan pengendalian dron tanpa permit kekal seperti peraturan sedia ada yang tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 (Akta 3), Peraturan 98, Peraturan 140-144, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).
“Zon larangan terbang dron berbeza dengan zon larangan terbang pesawat udara, iaitu sebarang pengendalian dron di kawasan sekitar KLCC atau di mana-mana lokasi sekalipun perlu memperoleh permit terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama.
Kata beliau, CAAM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi tujuan pengawasan, kawalan serta penyelarasan aktiviti penerbangan yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“CAAM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi sebarang aktiviti penerbangan dron di dalam negara.
“Kerjasama ini penting bukan sahaja dalam konteks kawalan ruang udara, tetapi juga memastikan setiap penerbangan yang beroperasi di Malaysia mematuhi peraturan keselamatan ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Encik Norazman berkata lokasi berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC tidak termasuk dalam zon larangan terbang pesawat udara.
“Sebarang sekatan atau larangan penerbangan pesawat kekal di kawasan telah diwartakan dan diumumkan secara rasmi melalui dokumen Penerbitan Maklumat Aeronautik (AIP) dan notis kepada juruterbang (NOTAM),” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.