Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengendali penginapan Desaru harapkan VTL laut dengan S'pura untuk rancakkan pelancongan

Destinasi pelancongan yang suatu masa dahulu dilihat sebagai makin luntur daya tarikannya, bandar pesisir di tenggara Johor itu kini menempatkan hotel-hotel mewah, padang golf dan taman bertema air.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengendali penginapan Desaru harapkan VTL laut dengan S'pura untuk rancakkan pelancongan

Terminal feri Desaru Coast dicadangkan sebagai titik pelabuhan untuk VTL laut antara Singapura dengan Desaru. (Ihsan: Desaru Coast)

Diterbitkan : 10 Dec 2021 09:21PM Dikemas Kini : 10 Dec 2021 09:37PM

DESARU, Johor: Sepanjang tiga tahun lalu, Desaru menjalani transformasi yang besar.

Destinasi pelancongan yang suatu masa dahulu dilihat sebagai makin luntur daya tarikannya, bandar pesisir di tenggara Johor itu kini menempatkan hotel-hotel mewah, padang golf dan taman bertema air.

Sekalipun demikian, penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19 bererti Desaru kekurangan satu elemen penting dalam usaha memberikannya nafas baru - iaitu, pelancong dari Singapura.

Penularan koronavirus menyekat perjalanan antara Singapura dengan Johor bagi sebahagian besar tempoh dua tahun lalu. Namun laporan baru-baru ini tentang kemungkinan pelancaran laluan langsung antara Singapura dengan Desaru membangkitkan harapan baru dalam kalangan para pengendali hotel dan resort di destinasi pesisiran itu.

Semasa melancarkan laluan perjalanan bagi penumpang divaksin (VTL) udara dan darat pada 29 November, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan rakan sejawatannya dari Malaysia Ismail Sabri Yaakob berbincang tentang pelancaran VTL laut, mungkin antara terminal feri Tanah Merah di Singapura dengan Desaru di Johor.

Para pemimpin itu menggariskan bahawa kedua-dua negara berminat untuk "membuka lebih lanjut sempadan" meskipun varian baru koronavirus Omicron mengganggu rancangan untuk memperluaskan VTL antara kedua-dua negara.

Meski belum ada pengesahan sama ada ataupun bila VTL laut akan dilancarkan, para pengusaha hotel di Desaru yang dihubungi Mediacorp menyuarakan rasa optimistik bahawa kemungkinan pembukaan laluan baru menerusi laut itu akan menambah akses ke kawasan tersebut.

Kawasan itu menempatkan projek Pantai Desaru, yang merangkumi Hotel Hard Rock, Adventure Waterpark serta resort mewah premium pesisiran The Westin, Anantara dan One&Only.

Cik Roslina Arbak, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif pembangunan Pantai Desaru, memberitahu Mediacorp bahawa kemungkinan VTL laut antara Singapura dan Malaysia akan menjadi "pengubah keadaan" untuk daya tarikan itu.

Pasukannya juga menguruskan Terminal Feri Pantai Desaru, iaitu kemudahan yang baru dibina yang dicadangkan sebagai titik pelabuhan untuk VTL laut antara Singapura dengan Desaru.

“Sebagai pintu masuk terkini ke Malaysia, perkhidmatan feri kami akan membawa tetamu dari Singapura terus ke depan pintu destinasi resort Pantai Desaru Coast dalam masa sekitar sejam. Bagi pelawat, pilihan ini mengurangkan dengan ketara titik-titik persinggahan dan mengurangkan keperluan untuk memandu terlalu jauh atau menaiki penerbangan,” tambahnya.

Kemudahan untuk pelawat menjalani pemeriksaan imigresen di Terminal Feri Desaru Coast. (Gambar: Amir Yusof/CNA)

Kemudahan untuk pelawat menjalani pemeriksaan imigresen di Terminal Feri Desaru Coast. (Gambar: Amir Yusof/CNA)

Cik Roslina berkongsi terminal feri baru itu boleh menampung 300 orang pada satu-satu masa. Ia juga mempunyai kemudahan untuk pelawat menjalani pemeriksaan imigresen dan untuk Kementerian Kesihatan menjalankan saringan COVID-19.

Beliau berkata perjalanan menaiki feri antara Pantai Desaru dengan Tanah Merah adalah sekitar 90 minit.

Bagaimanapun semasa satu sidang media maya pada Selasa (7 Dis), Cik Roslina akur bahawa Pantai Desaru "perlu menunggu" pemerintah kedua-dua negara untuk menetapkan perincian sebelum laluan VTL laut dilancarkan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai VTL laut antara Singapura dengan Malaysia, Kementerian Pengangkutan (MOT) Singapura menyatakan ia sedang mengambil pendekatan selangkah demi selangkah untuk mengembalikan laluan pengangkutan antarabangsa negara ini, kerana ia perlu mengimbangi antara ketersambungan dengan menguruskan risiko kesihatan awam.

"Kami berharap untuk memperluas skim VTL secara bertahap-tahap kepada lebih banyak destinasi di rantau ini dan merangkumi pengangkutan laut," menurut jurucakapnya.

VTL LAUT AKAN PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN S'PURA

Lotus Desaru Resort and Spa, sebuah tarikan berusia 10 tahun yang terletak bersebelahan dengan Pantai Desaru, turut menzahirkan rasa gembira bahawa VTL laut dan terminal feri baru akan meningkatkan tempahan hotel buat mereka.

Pengurus operasi resort Aaron Daniel Alabastro memberitahu Mediacorp bahawa sebelum COVID-19, pelancong Singapura akan mengambil masa kira-kira tiga jam melalui jalan darat untuk sampai ke resort di Desaru.

(Gambar: Amir Yusof/CNA)

Ini termasuk masa yang diambil untuk meredah kesesakan lalu lintas di Koswe dan perjalanan satu jam lagi dari Johor Bahru melalui lebuh raya Senai-Desaru, jelas beliau.

"Ya, ia (VTL laut) akan menjadi pengubah keadaan yang sangat ketara," kata Encik Alabastro.

“Terminal Feri Pantai Desaru berdekatan dengan resort kami. Ia akan menjadi pintu masuk yang sesuai untuk pelanggan kami dari Singapura ke Desaru,” katanya.

“Ia akan menjadikan Singapura dan Desaru lebih rapat. Pelawat juga boleh mempertimbangkan perjalanan santai singkat tanpa perlu memandu jarak jauh dan berdepan tekanan disebakan kesesakan di Koswe,” tambah Encik Alabastro.

Selain pelancong riadah, beberapa hotel juga menjangkakan bahawa VTL laut akan membawa lebih ramai pengunjung atas tujuan perniagaan ke kawasan itu.

Desaru terletak sekitar 40 kilometer dari Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), iaitu sebuah projek oleh syarikat minyak nasional Malaysia Petronas yang boleh beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi.

Four Points by Sheraton Desaru, yang baru dilancar pada November, memberitahu Mediacorp bahawa VTL laut dan Terminal Feri Pantai Desaru akan merangsang ketersambungan dengan Singapura.

Menurut pengurus besar hotel itu Maverick Loh, laluan VTL membolehkan lebih ramai klien dalam industri minyak dan gas di Singapura menggunakan Desaru sebagai laluan akses ke PIC.

PELAWAT RIADAH & PERNIAGAAN BOLEH RAIH MANFAAT, KATA PAKAR

Seorang pakar pengangkutan yang dihubungi Mediacorp bersetuju bahawa VTL laut akan menjadi potensi besar bagi perniagaan di Desaru kerana ia mengurangkan masa perjalanan dari Singapura dan mungkin lebih memudahkan pelawat.

Dr Rosli Azad Khan, pakar perancangan pengangkutan dari firma perundingan MDS yang berpangkalan di Selangor, berkata VTL boleh membawa masuk lebih ramai pelanggan korporat.

Beliau berkata sebelum COVID-19, terdapat perkhidmatan feri antara Changi di Singapura ke terminal feri Tanjung Belungkor dan Tanjung Pengelih di Pengerang yang menawarkan perkhidmatan kepada pekerja dalam industri minyak dan gas yang berpangkalan di Singapura.

Bagaimanapun, kerana belum ada kepastian sama ada perkhidmatan ini akan disambung semula, beliau meramalkan bahawa VTL laut dengan Desaru boleh menjadi pilihan yang mampan untuk para pekerja itu jika dan apabila ia dilancarkan.

Terminal Feri Desaru Coast. (Ihsan: Desaru Coast)

Profesor Madya Walter Theseira dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) akur bahawa terminal feri itu, serta kemungkinan VTL laut Singapura, boleh menarik minat pelancong bercuti kerana ia akan menjadikan pusat peranginan di kawasan Desaru lebih mudah diakses.

Bagaimanapun, beliau berkata penumpang dari Malaysia yang sebelum ini melakukan perjalanan harian dari Johor ke Singapura atas tujuan kerja sebelum pandemik COVID-19 melanda, mungkin tidak menganggap laluan laut itu sebagai pilihan yang menarik.

"Bagi penumpang harian Malaysia, yang ulang alik ke Singapura atas sebab kerja, belajar atau keluarga, laluan ini tidak mungkin berdaya saing berbanding dengan lintasan darat," jelas Prof Madya Theseira.

Beliau menggariskan bahawa perkhidmatan feri berkemungkinan lebih mahal dan memandangkan Desaru agak jauh dari Johor Bahru dan kawasan perumahan berpenduduk lain, masa yang diambil untuk perjalanan mungkin lebih panjang berbanding bas melalui VTL darat.

“Saya tidak dapat lihat bagaimana ia menarik bagi kebanyakan penumpang Malaysia berbanding alternatif pra-COVID iaitu pengangkutan awam, motosikal peribadi dan bas sewa,” tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan