Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengendali bas di Johor mahu sesi libat urus berhubung SOP buka sempadan

Anggaran Waktu Membaca:

ISKANDAR PUTERI: Pengusaha bas di Johor berharap agar kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama mereka, mengenai perincian dan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara yang akan dilaksanakan 1 April ini.

Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) R.Thiagarajan berkata sesi tersebut haruslah dilakukan segera menerusi dialog bersama pemain industri bas untuk mengetahui permasalahan dan peraturan terlibat sebelum memulakan operasi.

“Saya rasa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan Malaysia perlu membuat sesi libat urus untuk pembukaan sempadan.

“Sehingga kini perincian tidak dimaklumkan, prosesnya perlu diperincikan lebih awal supaya pengusaha bas boleh membuat aturan sepatutnya, kerana persediaan perlu dibuat lebih awal dan tidak menyebabkan kita kelam kabut nanti,” katanya semasa sidang media hari ini (23 Mac). 

Beliau, yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor, berkata hampir 300 pengusaha bas di negeri tersebut, terutama pengusaha bas sekolah dan persiaran, tidak dapat meneruskan operasi mereka kerana terjejas akibat COVID-19 dan dibelenggu hutang.

Justeru, pihaknya akan berjumpa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar dalam masa terdekat untuk membincangkan isu berkenaan, selain turut berharap agar dapat mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

“Jika isu kredit ini selesai, pengusaha boleh fokus untuk membangunkan semula perniagaan, sekiranya kami dapat pembelaan mengenai hutang kredit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga pada masa sama hendaklah membenarkan pengusaha membuat pengiklanan pada bas milik mereka untuk mencari pendapatan sampingan, terutama kepada pengusaha bas sekolah dan persiaran yang terjejas.

“Saya usul ahli-ahli persatuan untuk mencari pendapatan sampingan iaitu dengan membuat pengiklanan bas.

“Tetapi malangnya bas sekolah dan persiaran tidak layak, sedangkan yang layak adalah bas ekspres dan bas henti-henti,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan