Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengemis di JB didapati mampu raih sekitar S$3,370 sebulan

Dengan bermodalkan wajah sedih, setiap pengemis yang meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat Johor Bahru dipercayai mampu meraih RM300 (S$100) sehari atau sehingga RM10,000 (S$3,370) sebulan, menurut laporan New Straits Times.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengemis di JB didapati mampu raih sekitar S$3,370 sebulan

Gambar: NST

Diterbitkan : 12 Mar 2018 10:05PM Dikemas Kini : 12 Mar 2018 10:13PM

JOHOR BAHRU: Dengan bermodalkan wajah sedih, setiap pengemis yang meminta sedekah di persimpangan lampu isyarat Johor Bahru dipercayai mampu meraih RM300 (S$100) sehari atau sehingga RM10,000 (S$3,370) sebulan, menurut laporan New Straits Times.

Oleh sebab kegiatan mereka itu sangat menguntungkan, para pengemis tersebut
sering berpindah dari satu tempat ke satu tempat untuk mengelak daripada dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Namun, lumrahnya mereka kelihatan berkumpul di persimpangan lampu isyarat pada waktu sibuk.

Menurut pegawai JKM, Normawarni Mahat, golongan terbabit melakukan kegiatan itu "memilih untuk melakukan aktiviti mengemis di lampu isyarat kerana mampu mendapatkan hasil lebih lumayan."

“Malah, lokasi berkenaan juga lebih mudah bagi mereka untuk melarikan diri jika terserempak dengan kenderaan penguat kuasa terutama sekali ketika berlaku kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau selanjutnya berkata bahawa kebanyakan individu yang diselamatkan didapati melakukan kegiatan mengemis untuk kepentingan diri sendiri dengan sesetengah daripada mereka mampu mengumpul hasil sebanyak RM300 setiap hari.

New Straits Times melaporkan bahawa dalam kalangan pengemis yang diselamatkan beberapa bulan kebelakangan ini termasuk dua wanita Rohingya yang berusia 30-an tahun, empat kanak-kanak berusia antara 6 bulan dengan 3 tahun serta seorang lelaki kurang upaya dari Vietnam.

Cik Normawarni juga berkata bahawa jabatannya turut menyelamatkan tiga lelaki tempatan yang berusia antara 50 dengan 60 tahun.

“Tiga lelaki (warga Malaysia) itu pernah ditahan sebelum ini dan dituduh di bawah Akta Orang-Orang Papa 1977 pada 2016.

“Ketika itu mereka dibebaskan dengan amaran tidak melakukan kesalahan sama. Namun berikutan masih mengulangi kesalahan, mereka dihantar ke institusi kebajikan bagi menjalani pemulihan yang sesuai pada tahun lalu,” katanya.

Siasatan menunjukkan bahawa para pengemis itu didorong oleh masalah kewangan, tidak mempunyai pekerjaan tetap, ketagihan alkohol dan masalah penagihan dadah.

Mengulas lanjut, Cik Normawarni berkata bahawa pihaknya menerima 10 aduan orang awam mengenai kegiatan mengemis di persimpangan lampu isyarat di beberapa lokasi di bandar raya tersebut, sejak tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan aduan diterima, JKM bertindak menyelamatkan semua mereka. Selain itu, Cik Normawarni turut berkata kepada New Straits Times bahawa JKM tiada maklumat untuk membuktikan kumpulan pengemis itu dilindungi sindiket tertentu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan aktiviti berkenaan di daerah Johor Bahru boleh menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Johor Bahru di talian 07-2232606 atau melaporkan di Talian Nur di 15999.

“Kami berharap orang ramai tidak mudah simpati kerana ia mendorong golongan berkenaan memilih jalan mudah bagi mendapatkan sumber kewangan dan terus menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.  

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan