Skip to main content

Dunia

Pengeksport Pakistan berlumba untuk penuhi perjanjian daging halal bernilai AS$200 juta dengan Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Pengeksport Pakistan berlumba untuk penuhi perjanjian daging halal bernilai AS$200 juta dengan Malaysia
Kakitangan rumah penyembelihan di Lahore.
Diterbitkan : 02 Feb 2026 07:28PM Dikemas Kini : 02 Feb 2026 07:30PM
LAHORE: Perancangan Malaysia untuk mengimport daging halal bernilai AS$200 juta (S$254 juta) dari Pakistan mencetuskan perebutan dalam kalangan pengeksport Pakistan yang ghairah untuk menembusi pasaran Asia Tenggara yang lumayan, iaitu pasaran yang diharapkan oleh Islamabad dapat membantu memulihkan ekonominya yang sedang bergelut.

Namun, pemimpin industri memberi amaran bahawa tanpa penambahbaikan besar pada prasarana dan usaha untuk menurunkan kos ternakan, Pakistan berisiko kalah kepada pesaing serantau.

PENGEKSPORT BERMINAT DENGAN MALAYSIA

Di sebuah kemudahan pemprosesan daging yang dikendalikan oleh Anis Associates di Raiwind, Lahore, para pekerja menguruskan lebih 300 ekor haiwan sehari, memproses daging kambing dan lembu.

Selama lebih dua dekad, syarikat itu mengeksport daging halal ke Asia Tengah. Kini, ia sedang menetapkan sasaran ke arah Malaysia. Namun, firma tersebut menyatakan bahawa pengembangan itu tidak akan datang dengan mudah dan mereka memerlukan bantuan daripada pihak berkuasa.

"Jika pemerintah menyokong kami, barulah kami boleh memasuki (pasaran Malaysia)," kata CEO syarikat itu, Nasib Ahmed Saifi. "Ternakan di sini mahal, dan cukai juga tinggi. Lokasi kami jauh dari Malaysia, jadi caj tambang kami lebih tinggi dan perlu dibayar dalam dolar."

Pengeksport Pakistan didorong oleh perjanjian eksport daging halal bernilai AS$200 juta yang ditandatangani dengan Malaysia pada Oktober lalu, semasa lawatan Perdana Menteri Shehbaz Sharif ke negara tersebut.

Perjanjian itu mewakili lonjakan besar berbanding jumlah eksport semasa ke Malaysia, kata pakar ekonomi Ali Salman.

"Untuk membangunkan perjanjian daripada (hampir sifar) kepada AS$200 juta kedengarannya sangat bercita-cita tinggi, dan mungkin tidak realistik pada ketika ini," kata pengarah eksekutif badan pemikir Pakistan, Institut Kajian Dasar mengenai pasartan Ekonomi, sambil menambah bahawa terdapat banyak cabaran di hadapan.

PENUHI STANDARD TINGGI MALAYSIA

Pengeluar menghadapi pelbagai halangan. Keperluan keselamatan makanan Malaysia - yang dianggap secara meluas sebagai penanda aras global, terutama sekali dalam standard makanan Halal - menuntut kawalan penyakit, kebersihan, dan sanitasi yang ketat di pusat penyembelihan.

Muhammad Junaid, perunding ternakan di Kementerian Keselamatan Makanan dan Penyelidikan Nasional Pakistan, berkata hanya tiga pusat penyembelihan di negara itu yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

"Kami berharap agar lebih banyak pusat penyembelihan (didaftarkan) bagi memenuhi peningkatan jumlah sembelihan yang akan datang," katanya.

Anis Associates menyatakan bahawa mereka sudah mematuhi piawaian antarabangsa tentang cara daging dibersihkan, dipotong, dan disimpan. Sekalipun demikian, pensijilan datang dengan kos - AS$265 (S$337) bagi setiap penghantaran - yang mana pengeksport mahu pemerintah memberikan subsidi.

PERSAINGAN SERANTAU

Persaingan menjadi satu lagi cabaran. Pasaran daging Malaysia kini didominasi oleh Australia dan New Zealand, dengan India meningkatkan kehadirannya secara mendadak dengan menawarkan harga yang lebih rendah.

Pengeksport Pakistan memberi amaran bahawa kelebihan kos yang dimiliki India sedang menghakis daya saing mereka.

Sungguhpun demikian, Pakistan mengekalkan kelebihan dalam eksport daging lembu, memandangkan India tidak mengeksport daging tersebut, sekaligus memberi akses kepada pembekal Pakistan ke pasaran produk daging lembu Malaysia.

Logistik juga kekal sebagai halangan utama. Pemerintah menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menaik taraf prasarana dan memperluas rantaian bekalan yang dikawal suhu (bilik sejuk).

Islamabad juga menggunakan saluran diplomatik untuk membantu menghubungkan pengeksport Pakistan secara langsung dengan pembeli Malaysia.

Penganalisis bersetuju bahawa penambahbaikan dalam standard, pensijilan, dan logistik boleh membuka pintu kepada industri daging halal Pakistan untuk memanfaatkan pasaran Malaysia yang luas.

Namun, mereka berkata kejayaan akan bergantung kepada seberapa cepat pemerintah dan pengeksport dapat mengatasi cabaran struktur itu.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita