Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengeboman Gaza tahun lalu 'paling sengit' sejak Perang Dunia Kedua, dedah UNRWA

Anggaran Waktu Membaca:
Pengeboman Gaza tahun lalu 'paling sengit' sejak Perang Dunia Kedua, dedah UNRWA

(Gambar: Eyad BABA / AFP)

Diterbitkan : 29 Nov 2024 11:14PM Dikemas Kini : 29 Nov 2024 11:16PM
ISTANBUL: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat (29 Nov) menyatakan bahawa Gaza kini mengalami pengeboman paling intensif terhadap penduduk awam sejak Perang Dunia Kedua, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, UNRWA menekankan "kesengsaraan pelarian Palestin," dengan menyatakan bahawa ia "kekal sebagai krisis pelarian yang paling lama tidak dapat diselesaikan di dunia."

"Pada tahun lalu, Gaza telah mengalami pengeboman paling intensif terhadap penduduk awam sejak Perang Dunia Kedua," katanya. 

Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin, yang diiktiraf PBB sejak 1977, diwujudkan melalui Resolusi 181 yang diluluskan Perhimpunan Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pada 29 November 1947.

Resolusi itu menyeru pembahagian Palestin kepada negara "Arab" dan "Yahudi."

Perang Israel di Carikan Gaza sejak Oktober tahun lalu telah mengorbankan lebih 44,300 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 104,900 yang lain.

Tahun kedua perang di Gaza telah mencetuskan kecaman antarabangsa yang semakin lantang, dengan pegawai dan institusi menyifatkan serangan serta sekatan penghantaran bantuan sebagai usaha disengajakan untuk menghapuskan penduduk.

Minggu lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas serangan tenteranya di Gaza.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan