Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengebom nekad Sri Lanka sanggup beratur untuk sarapan sebelum lancar serangan

Seorang pengebom nekad sanggup beratur bagi sarapan bufet pada Hari Easter (21 Apr) di Hotel Cinnamon Grand di Sri Lanka sebelum meledakkan bahan letupan yang dipasang pada bahagian belakang tubuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengebom nekad Sri Lanka sanggup beratur untuk sarapan sebelum lancar serangan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 22 Apr 2019 09:51AM Dikemas Kini : 22 Apr 2019 09:55AM

COLOMBO: Seorang pengebom nekad sanggup beratur bagi sarapan bufet pada Hari Easter (21 Apr) di Hotel Cinnamon Grand di Sri Lanka sebelum meledakkan bahan letupan yang dipasang pada bahagian belakang tubuhnya.

Sambil membawa pinggan, lelaki yang mendaftarkan diri di hotel itu pada malam sebelumnya, meletupkan dirinya sejurus sebelum dihidangkan dengan sarapan di restoran yang penuh sesak itu, menurut seorang pengurus di hotel berkenaan.

"Keadaan menjadi huru-hara," menurut pengurus itu kepada AFP yang tidak mahu namanya didedahkan kerana beliau tidak diberi kebenaran untuk bercakap bagi pihak syarikatnya.

Semasa serangan itu dilancarkan, restoran Taprobane di hotel tersebut sedang berdepan dengan hari yang dianggap antara yang paling sibuk bagi tahun ini sempena cuti hujung minggu sempena Hari Easter.

"Ia berlaku pada 8.30 pagi, waktu sangat sibuk. Penuh sesak dengan keluarga," menurut pengurus itu kepada AFP.

"Dia menanti gilirannya hingga ke hadapan barisan sebelum meletupkan dirinya. Salah seorang pengurus kami yang menyambut tetamu adalah antara yang terbunuh dengan serta-merta."

Pengebom itu turut maut.

Beberapa kakitangan lain turut menceritakan bagaimana penyerang itu mendaftarkan diri di hotel dengan menggunakan alamat yang ternyata palsu, sambil mendakwa bahawa dia datang ke bandar itu atas urusan kerja.

Seorang pegawai di hospital Batticaloa memberitahu AFP bahawa lebih 300 orang dibawa ke hospital itu menyusuli serangan tersebut.

Dua hotel lain, Shangri-La dan Kingsbury, diserang secara serentak bersama dengan tiga gereja yang penuh sesak dengan para penganut Kristian sempena upacara keagamaan Hari Easter.

Letupan di gereja St Anthony, iaitu sebuah gereja Katolik yang bersejarah, begitu kuat sehinggakan hampir seluruh bumbungnya musnah.

Lebih 200 orang korban dalam lapan letupan yang disasarkan ke atas hotel-hotel dan gereja-gereja di Sri Lanka pada Hari Easter.

Beratus-ratus yang lain turut cedera dalam serangan yang disifatkan oleh Menteri Pertahanan Sri Lanka,Ruwan Wijewardene sebagai "insiden pengganasan".

Pemerintah Sri Lanka juga sudah menguatkuasakan perintah berkurung yang tempohnya tidak ditentukan dan menyekat saluran-saluran media sosial serta khidmat-khidmat pesanan.

Pihak berkuasa belum mendedahkan dalang di sebalik serangan. Para pegawai polis berkata sekurang-kurangnya 450 orang tercedera dan digegaskan ke hospital. Ramai daripada 35 warga asing yang terbunuh dalam serangan itu berada di hotel-hotel, menurut para pegawai.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan