Skip to main content

Dunia

Pengebom nekad serang perhimpunan kumpulan antimilitan di Pakistan, 14 maut

Seorang pengebom nekad menyasarkan para penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan anti kumpulan bersenjata di barat laut Pakistan pada Ahad (2 Ogos), mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, kebanyakannya orang awam dan anggota polis, selain mencederakan berpuluh-puluh yang lain, menurut pihak berkuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengebom nekad serang perhimpunan kumpulan antimilitan di Pakistan, 14 maut

Anggota polis memeriksa lokasi kejadian menyusuli satu serangan bom nekad di Kabal, sebuah bandar di Lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan, pada 2 Ogos 2026. (Gambar: AP/Sherin Zada)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 10:32AM
PESHAWAR: Seorang pengebom nekad menyasarkan para penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan anti kumpulan bersenjata di barat laut Pakistan pada Ahad (2 Ogos), mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, kebanyakannya orang awam dan anggota polis, selain mencederakan berpuluh-puluh yang lain, menurut pihak berkuasa.

Serangan itu berlaku di Kabal, sebuah bandar di Lembah Swat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa, ketika para penunjuk perasaan berhimpun berhampiran sebuah balai polis sambil melaungkan slogan antikumpulan bersenjata sambil menuntut keamanan, kata Ketua Polis Daerah Omar Khan.

Menurut para saksi, sejurus sebelum serangan, para penceramah di perhimpunan itu berkata tanggungjawab memastikan keselamatan dan membanteras kegiatan kumpulan bersenjata terletak pada pihak pemerintah.

Mereka turut menuduh pihak berkuasa gagal bertindak tegas terhadap kumpulan bersenjata, sambil berkata bahawa penduduk mahu hidup tanpa rasa takut selepas keganasan memusnahkan wilayah tersebut selama bertahun-tahun.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Faizi, berkata penyerang menyasarkan puluhan peserta yang sedang melaungkan slogan antikumpulan bersenjata dan menuntut keamanan.

Pegawai polis Omar Khan berkata sekurang-kurangnya sembilan orang awam dan lima anggota polis terkorban dalam serangan tersebut.

PRESIDEN DAN PERDANA MENTERI SAMPAIKAN SALAM TAKZIAH

Presiden Pakistan Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif mengecam serangan pengeboman itu serta melahirkan rasa dukacita mereka atas kehilangan nyawa yang berlaku.

Dalam kenyataan berasingan, mereka mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban, mendoakan kesembuhan mereka yang cedera dan mengarahkan pihak berkuasa untuk memastikan para mangsa menerima rawatan perubatan yang terbaik.

Encik Zardari dan Encik Sharif turut menegaskan bahawa perjuangan Pakistan menentang pengganasan akan diteruskan sehingga ancaman itu dihapuskan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi turut mengecam serangan tersebut.

Dalam satu kenyataan, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.

Lembah Swat suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat kumpulan bersenjata Islam yang melaksanakan tafsiran ketat syariah sebelum tentera Pakistan melancarkan operasi besar-besaran pada 2007 untuk mengusir mereka dan mengembalikan kawalan kepada pemerintah.

Namun, kumpulan bersenjata kembali muncul di Lembah Swat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Taliban Pakistan sedang berusaha untuk mengukuhkan semula kedudukan mereka di wilayah berkenaan.

Sebagai tindak balas, para penduduk berulang kali mengadakan perhimpunan anti Taliban bagi membantah kehadiran kumpulan bersenjata di seluruh lembah tersebut.

SYAK WASANGKA TERTUMPU KEPADA TALIBAN PAKISTAN

Tiada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, namun syak wasangka tertumpu kepada Taliban Pakistan, yang dikenali sebagai Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP).

TTP berasingan daripada Taliban Afghanistan, namun mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah Taliban di negara itu.

Ramai pemimpin dan anggota kumpulan tersebut mendapat perlindungan di Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.

Pakistan sejak sekian lama menuduh pemerintah Taliban Afghanistan melindungi para anggota TTP, namun tuduhan itu dinafikan Kabul.

Pakistan menyaksikan peningkatan serangan kumpulan bersenjata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya yang menyasarkan anggota polis dan pasukan keselamatan.

Pada Jumaat, jurucakap tentera Pakistan Ahmad Sharif Chaudhry berkata negara itu merekodkan 3,145 "kejadian pengganasan" sejak Januari.

Beliau berkata Pakistan sudah membunuh 2,084 anggota militan dalam tempoh tersebut, manakala 819 rakyat Pakistan, termasuk anggota tentera, polis dan orang awam, turut terbunuh.

Encik Chaudhry juga berkata kumpulan bersenjata yang berpangkalan di Afghanistan sudah melancarkan 28 serangan bom nekad di Pakistan sejak Januari dan menyatakan kebanyakannya dilakukan oleh warga Afghanistan atau individu yang mempunyai kaitan dengan pasukan keselamatan negara itu.

Beliau berkata TTP dan kumpulan bersenjata lain melancarkan serangan di Pakistan dengan sokongan pemerintah Taliban Afghanistan, dan Pakistan akan terus menyasarkan TTP serta rangkaian sokongannya.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita