Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengayuh beca Melaka diminta mainkan lagu tradisional, dondang sayang

Anggaran Waktu Membaca:
MELAKA: Pengayuh beca di Melaka diminta mengubah pemasangan lagu kepada muzik tradisional atau dondang sayang, dalam usaha untuk memperkenalkan seni budaya kepada pelancong terutama yang datang dari luar negara.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penerapan elemen budaya itu penting dalam memperkenalkan Melaka sebagai negeri yang kaya dengan warisan dalam menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

"Mereka (pengayuh beca) ini sebagai duta kecil atau petugas barisan hadapan yang penting dalam menyambut tetamu datang ke negeri ini, jadi kita tidak mahu mereka memasang muzik yang terlalu kuat atau rancak sepanjang masa sehingga mengganggu dan mengundang ketidakselesaan penumpang.

"Kita juga ada menerima aduan mengenai perkara ini, justeru kita melihat pemilihan lagu kepada elemen tradisional ketika TMM2024 itu juga lebih sesuai dan ini antara syarat yang akan ditetapkan untuk membolehkan mereka mendapat lesen atau permit beca,” katanya kepada pemberita di Jalan Kota, Banda Hilir di Melaka pada Isnin (20 Nov).

Dalam pada itu, Encik Abdul Razak juga mengingatkan persatuan beca di negeri ini supaya mengenakan kadar bayaran kepada penumpang mengikut harga yang telah diselaraskan iaitu RM40 (S$11.50) bagi satu jam perkhidmatan.

“Kita dapat lihat segelintir pengayuh beca mengenakan bayaran berbeza dengan harga tinggi kerana mereka merasakan sesetengah pelancong itu boleh diambil kesempatan.

“Kita tidak mahu perkara ini memberi imej yang tidak baik kepada pelancongan negeri. Jika mereka mahu selaraskan untuk kadar masa yang kurang sejam sebagai contoh RM25 (S$7.20), semua pengayuh beca perlu mengenakan harga sama bukannya berbeza-beza,” katanya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan