Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengawal trafik udara di Perancis mogok; lebih 1,000 penerbangan dibatalkan

Lebih 1,000 penerbangan di Perancis dibatalkan pada Jumaat (16 Sep) berikutan pengawal trafik udara mengadakan mogok untuk menuntut kenaikan gaji. 

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal trafik udara di Perancis mogok; lebih 1,000 penerbangan dibatalkan

Orang ramai melihat panel maklumat pelepasan penerbangan di Terminal 2 Lapangan Terbang Roissy-Charles de Gaulle, di pinggir timur laut Paris, yang mengumumkan beberapa pembatalan penerbang dek mogok oleh para pengawal trafik udara. (Gambar: JULIEN DE ROSA / AFP)

Diterbitkan : 17 Sep 2022 02:13PM Dikemas Kini : 17 Sep 2022 02:15PM
WASHINGTON: Lebih 1,000 penerbangan di Perancis dibatalkan pada Jumaat (16 Sep) berikutan pengawal trafik udara mengadakan mogok untuk menuntut kenaikan gaji. 

Mogok selama sehari itu diadakan selepas beberapa bulan rundingan dijalankan berhubung gaji dan rancangan pengambilan pekerja, lapor United Press International (UPI).

Kesatuan kawalan trafik udara, SNCTA, dalam satu kenyataan memaklumkan masalah kekurangan kenaikan gaji itu sesuatu yang tidak wajar. Pekerja memulakan mogok pada pukul 6.00 pagi Jumaat.

Pihak berkuasa penerbangan Perancis meminta syarikat penerbangan menghentikan separuh penerbangan dan menggesa penumpang menangguhkan perjalanan sebagai langkah persediaan untuk menangani kesan akibat mogok itu.

Banyak syarikat terpaksa membatalkan penerbangan termasuk melibatkan penerbangan yang hanya melalui ruang udara Perancis dan keadaan ini mencetuskan ketidakpuasan hati. 

"Tidak boleh dimaafkan apabila penumpang yang tidak menaiki penerbangan ke atau dari Perancis turut terkesan," kata Pengarah Operasi Ryanair Neal McMahon.

Ryanair membatalkan 420 penerbangan.

Air France pula membatalkan 55 peratus penerbangan jarak dekat dan sederhana serta 10 peratus penerbangan jarak jauh.

Sementara itu, ratusan penerbangan kendalian syarikat EasyJet turut terjejas.

Pelawat Perancis mungkin akan menghadapi lebih banyak gangguan pada akhir bulan ini berikutan mogok tiga hari yang dirancang pada 28 hingga 30 September.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan