Skip to main content

Dunia

Pengawal selia penerbangan arah Air India pecat 3 pegawai atas "kegagalan sistemik"

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal selia penerbangan arah Air India pecat 3 pegawai atas "kegagalan sistemik"

Sebuah kren yang memindahkan ekor pesawat menyusuli nahas Air India pada 12 Jun di kawasan perumahan berhampiran lapangan terbang di Ahmedabad pada 14 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Dibyangshu Sarkar)

Diterbitkan : 21 Jun 2025 10:53PM Dikemas Kini : 21 Jun 2025 10:54PM
NEW DELHI: Pengawal selia penerbangan awam New Delhi telah mengarahkan Air India untuk menggugurkan dan memecat tiga pegawai daripada peranan mereka atas "kegagalan sistemik", menurut arahan yang dilihat oleh AFP pada Sabtu (21 Jun), sedang syarikat penerbangan itu diletakkan di bawah pengawasan menyusuli satu nahas udara baru-baru ini.

Arahan daripada Direktorat Jeneral Penerbangan Awam (DGCA) tidak memperincikan sama ada ia dikaitkan dengan nahas 12 Jun di Ahmedabad, yang mengorbankan kesemua kecuali seorang daripada 242 orang di dalamnya. Sekurang-kurangnya 38 yang lain terbunuh apabila pesawat terhempas.

Arahan DGCA menyatakan bahawa pendedahan sukarela syarikat penerbangan itu "menunjukkan kegagalan sistemik dalam penjadualan anak kapal, pematuhan peraturan dan akauntabiliti dalaman".

"Kebimbangan khusus ialah ketiadaan tindakan disiplin yang ketat terhadap pegawai utama yang bertanggungjawab secara langsung atas kelemahan operasi ini," menurut arahan itu, yang dikeluarkan pada Jumaat (20 Jun).

"Pegawai-pegawai ini telah terlibat dalam kesalahan serius dan berulang kali," katanya.

Pengawal selia itu mengarahkan Air India untuk menggugurkan tiga pegawai yang dinamakan dalam perintah itu "daripada semua arahan tersebut dan tanggungjawab yang berkaitan dengan penjadualan anak kapal", mengambil tindakan disiplin dan melaporkan langkah-langkah yang diambil dalam tempoh 10 hari.

Pelanggaran pada masa akan datang juga boleh mengakibatkan "penggantungan lesen".

Syarikat penerbangan itu menyatakan pada Sabtu (21 Jun) bahawa ia telah melaksanakan arahan itu.

"Air India komited untuk memastikan bahawa kami mematuhi sepenuhnya protokol keselamatan dan amalan standard," katanya dalam satu kenyataan.

Para penyiasat sedang berusaha untuk mengetahui punca yang menyebabkan pesawat yang menuju ke London itu terhempas beberapa saat selepas ia berlepas dari Ahmedabad.

Air India menyatakan pada Khamis lalu bahawa pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu "diselenggara dengan baik" dan para juruterbangnya juga cekap.

Perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan telahpun ditemui di tempat kejadian.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita