Skip to main content

Dunia

Pengawal selia Kanada kenakan yuran ke atas Google bagi kandungan berita di lamannya

Pengawal selia Kanada menyatakan pada Rabu (26 Feb) bahawa ia akan mengenakan bayaran ke atas Google untuk mendapatkan semula kos penguatkuasaan undang-undang yang mewajibkan platform-platform internet yang besar untuk membayar kandungan berita di laman web masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal selia Kanada kenakan yuran ke atas Google bagi kandungan berita di lamannya

Logo Google di luar prasarana Google Bay View di California, Amerika, pada 13 Ogos 2024. (Gambar fail: Reuters/Manuel Orbegozo)

Diterbitkan : 27 Feb 2025 12:46PM Dikemas Kini : 27 Feb 2025 12:47PM
OTTAWA: Pengawal selia Kanada menyatakan pada Rabu (26 Feb) bahawa ia akan mengenakan bayaran ke atas Google untuk mendapatkan semula kos penguatkuasaan undang-undang yang mewajibkan platform-platform internet yang besar untuk membayar kandungan berita di laman web masing-masing.

Penguatkuasaan levi ke atas gergasi enjin carian itu yang berpangkalan di Mountain View, California dikenakan sedang ketegangan semakin meningkat antara Kanada dan Amerika Syarikat berhubung perdagangan, keselamatan sempadan dan cukai perkhidmatan digital ke atas firma-firma teknologi dari Amerika.

Suruhanjaya Radio-Televisyen dan Telekomunikasi Kanada (CRTC) menyatakan bahawa sebahagian besar operasinya dibiayai oleh yuran yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat yang dikawal selianya, dan peraturan untuk mendapatkan semula kos di bawah Akta Berita Online akan berkuat kuasa mulai 1 April.

Caj mungkin berbeza dari tahun ke tahun dan hadnya tidak ditetapkan.

CRTC memuktamadkan peraturan itu selepas tempoh perundingan awam, dengan Google membantah pelaksanaannya sambil menyatakan bahawa ia "bukan pendekatan yang rasional" untuk mengenakan 100 peratus kos ke atas satu entiti.

Sebahagian daripada trend global yang mengarahkan gergasi-gergasi internet membayar kandungan berita, Kanada meluluskan undang-undang tahun lalu untuk menangani kebimbangan industri media bahawa syarikat-syarikat teknologi menjejas perniagaan berita daripada pasaran pengiklanan online.

Hanya Google milik Alphabet dan Facebook milik Meta yang memenuhi ambang syarikat cukup besar yang perlu membuat bayaran kepada pertubuhan-pertubuhan berita.

Google, selepas berbulan-bulan berunding dengan pemerintah Kanada, bersetuju untuk membayar C$100 juta setiap tahun dalam perjanjian dengan penerbit untuk menyimpan berita dalam hasil carian. Meta, bagaimanapun, memutuskan untuk menyekat berita daripada platform Facebook dan Instagramnya di Kanada untuk mengelakkan pembayaran.

Google mendakwa bahawa peraturan itu adalah "beban kawal selia tambahan yang tidak adil ke atas syarikat yang terus menyokong ekosistem berita di negara itu".

Dalam notis dasar yang dimuat naik ke laman webnya pada Rabu, CRTC turut mendedahkan bahawa disebabkan struktur Akta Berita Online, kos sedemikian hanya boleh dikenakan ke atas platform digital yang tertakluk kepada undang-undang negara itu.

Google enggan mengulas melebihi respons yang diserahkannya kepada CRTC.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita