Pengawal selia EU luluskan vaksin COVID-19 Pfizer bagi kanak-kanak 5-11 tahun
Pengawal selia ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis (25 Nov) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun, sekali gus membuka laluan kepada kumpulan usia itu untuk diberi suntikan pertama vaksin.

Vaksin Pfizer-BioNTech. (Gambar: AFP)
REUTERS: Pengawal selia ubat-ubatan Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis (25 Nov) meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun. Ini sekali gus membuka laluan kepada kumpulan usia itu untuk diberi suntikan pertama sedang rantau itu bergelut dengan lonjakan kes baru.
Vaksin itu, yang dipanggil Comirnaty, akan diberikan dalam dua dos 10 mikrogram dengan selang tiga minggu antara suntikan, menurut saranan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA).
Dos dewasa mengandungi 30 mikrogram.
"Manfaat Comirnaty pada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun melebihi risiko, terutamanya pada mereka yang mempunyai keadaan yang meningkatkan risiko menghidap COVID-19 yang teruk," kata EMA.
Syarikat-syarikat itu telah menyatakan vaksin buatannya menunjukkan keberkesanan 90.7 peratus terhadap koronavirus dalam ujian klinikal ke atas kanak-kanak dalam lingkungan usia lima hingga 11 tahun.
Sejak Mei lalu, penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech diluluskan bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Kesatuan Eropah.
Meskipun kelulusan akhir bergantung pada Suruhanjaya Eropah, ia lazimnya mengikut cadangan EMA.
Namun, masih belum jelas bila negara-negara anggota boleh memulakan suntikan vaksin pada kanak-kanak kecil. Awal minggu ini, menteri kesihatan Jerman yang bakal berundur Jens Spahn berkata penghantaran versi pediatrik dos rendah bagi seluruh EU hanya akan bermula pada 20 Disember.
Blok itu mengikuti langkah negara-negara, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Israel, China dan Arab Saudi, yang telah meluluskan vaksin untuk kanak-kanak dalam kumpulan usia lima hingga 11 tahun dan yang lebih muda.
Berpuluh-puluh juta kanak-kanak dalam lingkungan usia ini akan layak mendapatkan suntikan di EU.
Bagi suntikan vaksin ke atas kanak-kanak, pengawal selia AS membenarkan versi baru vaksin, yang menggunakan penimbal baru dan membolehkannya disimpan dalam peti sejuk sehingga 10 minggu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.