Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengawal pantai Filipina adakan latihan di Laut China Selatan yang dipertikai

Pengawal pantai Filipina melakukan latihan di Laut China Selatan yang menurut seorang pegawai pada Ahad (25 Apr) merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjaga keamanan "bidang kuasa maritim kami" di perairan yang dipertikaikan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal pantai Filipina adakan latihan di Laut China Selatan yang dipertikai

Gambar fail kapal kawalan pantai Filipina di Laut China Selatan pada Mei 2019. (Gambar: AFP/TED ALJIBE)

Diterbitkan : 25 Apr 2021 10:00PM Dikemas Kini : 25 Apr 2021 10:01PM

MANILA: Pengawal pantai Filipina melakukan latihan di Laut China Selatan yang menurut seorang pegawai pada Ahad (25 Apr) merupakan sebahagian daripada usaha untuk menjaga keamanan "bidang kuasa maritim kami" di perairan yang dipertikaikan.

Latihan dekat Pulau Thitu yang diduduki Filipina dan Scarborough Shoal yang dikuasai China dilakukan di tengah ketegangan meningkat di laut yang kaya dengan sumber.

Pertelingkahan diplomatik terbaru antara kedua-dua negara itu tercetus bulan lalu oleh pengesanan ratusan kapal China di Kepulauan Spratly.

Sebahagian besar bot sejak itu bersurai di sekitar kepulauan yang dipertikai.

China - yang membuat tuntutan ke atas hampir keseluruhan laut - menolak permintaan berulang oleh Filipina untuk memanggil balik kapal-kapal itu, yang dikatakan Manila adalah kapal bersenjata maritim namun Beijing bertegas adalah kapal nelayan.

Sebagai tindak balas, Filipina mengerahkan lebih banyak kapal peronda, termasuk kapal pengawal pantai dan tentera laut, untuk meningkatkan pengawasan dan mencegah penangkapan ikan secara haram.

Latihan pengawal pantai bermula minggu lalu.

"Kami menyokong usaha seluruh negara dalam menjaga keamanan bidang kuasa maritim kami," kata jurucakap pengawal pantai Komodor Armando Balilo.

Latihan itu melibatkan latihan dalam navigasi, operasi kapal kecil, penyelenggaraan dan operasi logistik.

Ia dianjurkan dekat Pulau Thitu dan Scarborough Shoal, serta kepulauan Batanes di utara, dan bahagian selatan dan timur negara itu.

Scarborough - salah satu kawasan perikanan terkaya di rantau ini - sejak sekian lama menjadi titik pertikaian antara Manila dengan Beijing. China merampasnya dari Filipina pada 2012 menyusuli satu kebuntuan.

Latihan terkini bermula ketika angkatan bersenjata Filipina mengadakan latihan bersama dengan tentera Amerika Syarikat yang berakhir pada Jumaat.

Beijing tidak mengendahkan keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang mengisytiharkan bahawa tuntutan sejarahnya atas sebahagian besar Laut China Selatan adalah tanpa asas.

Namun hubungan yang amat dingin antara Manila dengan Beijing pulih sedikit di bawah Presiden Rodrigo Duterte, yang mengetepikan keputusan itu sebagai pertukaran bagi janji perdagangan dan pelaburan.

Bagaimanapun, setiausaha luar dan pertahanan Filipina pula bertikam lidah dengan Beijing.

Jabatan ehwal luar mengemukakan bantahan setiap hari berhubung kapal-kapal China dan dalam satu tindakan yang jarang berlaku, ia baru-baru ini memanggil utusan Beijing untuk menyuarakan "rasa sangat tidak senang" atas isu tersebut.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan