Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengawal keselamatan Saudi kongsi kisah dengan jemaah haji tua selepas gambar tular

Pengawal keselamatan Arab Saudi, Majed Ali Al-Hakami, yang menarik perhatian media dan pengguna media sosial dengan beberapa video dan gambar yang tular, berkata apa yang dilakukannya adalah berpandukan agama, nilai-nilai kemanusiaan dan kewajipan sebagai tentera.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengawal keselamatan Saudi kongsi kisah dengan jemaah haji tua selepas gambar tular

Jemaah tua diangkat oleh pengawal keselamatan Majed Ali Al-Hakami. (Gambar: SPA)

Diterbitkan : 17 Aug 2019 10:07AM Dikemas Kini : 17 Aug 2019 10:18AM

MAKKAH: Pengawal keselamatan Arab Saudi, Majed Ali Al-Hakami, yang menarik perhatian media dan pengguna media sosial dengan beberapa video dan gambar yang tular, berkata apa yang dilakukannya adalah berpandukan agama, nilai-nilai kemanusiaan dan kewajipan sebagai tentera.

Encik Majed memberitahu Al-Arabiya.net: "Ini adalah tanggungjawab yang dipikul setiap pengawal keselamatan yang terlibat dalam tugas-tugas semasa haji, pada tahun ini mahupun tahun-tahun sebelumnya. Semuanya tentang mengekalkan keselamatan para jemaah dan bekerja keras bagi memastikan keselesaan mereka dalam segala urusan supaya mereka dapat menunaikan ibadah mereka sengan selesa, tenang dan aman."

Beliau menambah: "Kami berikrar pada saat-saat pertama kami tiba di Makkah bahawa kami akan memberi yang terbaik dalam membantu dan menyediakan segala khidmat kepada para jemaah."

BIMBANG JEMAAH TUA REBAH, ANGGAP SEPERTI BAPA

Encik Majed turut berkongsi kisah di sebalik gambar yang menarik perhatian pengguna media sosial.

Beliau berkata: "Pada Hari Arafah, dari jauh, saya nampak seorang jemaah lelaki tua yang tidak boleh berjalan. Beliau akan duduk dan kemudian berdiri semula.

"Kemudian saya bertanya kepada beliau, 'Apa yang menyakiti kamu?' Beliau menjawab dalam bahasa Urdu dan saya tidak faham apa yang dikatakan, tetapi saya dengar beliau mengerang kesakitan. Saya memberinya air untuk diminum dan membasahkan kepalanya dengan air sejuk."

Tambah Encik Majed kepada Al-Arabiya.net: "Saya bimbang beliau terpijak barang yang tajam atau kaca yang pecah. Saya berfikir, beliau mungkin akan jatuh. Saya memeriksa kakinya dan kedua-duanya terketar-ketar dan lemah. Saya bimbang lelaki tua itu akan rebah.

"Saya anggapnya sebagai bapa saya, oleh itu saya menenangkannya dalam bahasa isyarat, "Usah takut, saya bersama kamu. Saya tidak akan tinggalkan kamu!"

"Saya berjalan bersamanya untuk jarak yang dekat, tetapi beliau berjalan dengan perlahan sekali. Lantas saya mengangkatnya.

"Beliau kemudian bercakap dengan saya, dengan ekspresi yang saya rasa penuh dengan ucapan terima kasih dan doa bagi saya. Saya senyum sepanjang mengangkatnya supaya beliau tidak rasa dirinya sebagai beban untuk saya. Saya mencari ganjaran dari Allah."

ANGKAT HINGGA KE MUZDALIFAH

Encik Majed kemudian terus mengangkatnya dari Arafah hingga ke stesen kereta api. Beliau menemani lelaki tua tersebut buat masa agak lama, sebelum mengangkatnya lagi ke Muzdalifah.

Lelaki tua itu turut mencium dahinya sambil menangis, menurut Al-Arabiya.net.

"Saya tidak meninggalkan tempat itu sehingga saya diberi jaminan lelaki tua itu dalam keadaan selamat."

Beliau terdiam sebentar, sebelum berkata: "Saya rasa Allah memilih saya antara ribuan orang untuk menjaga jemaah tua ini pada hari penuh berkat ini. Saya berdoa Allah memberi saya ganjarannya!"

Menurut Encik Majed, mana-mana rakyat Arab Saudi yang berada di tempatnya akan melakukan perkara yang sama, untuk berkhidmat kepada para jemaah, selaras dengan arahan pihak kepimpinan dan Menteri Dalam Negeri kepada semua pegawal keselamatan.

Beliau juga tidak menyangka kisahnya dengan lelaki tua itu akan tular dengan cara sebegitu.

"Saya tidak tahu dan tidak sedar orang-orang sedang mengambil gambar saya. Saya masih terkejut sehingga sekarang bagaimana gambar-gambar itu tersebar luas."

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan sekerja dan para pegawai keselamatan dari pelbagai sektor, atas kerja-kerja keselamatan dan kemanusiaan yang mereka jalankan dengan cemerlang semasa musim haji. 

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan