Pengasuh ditahan bantu siasatan kematian bayi di Serdang
Polis menahan seorang wanita warga Thailand bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, dipercayai didera di Serdang, pada Jumaat (13 Mac).

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga Thailand bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan, dipercayai didera di Serdang, pada Jumaat (13 Mac).
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan ketika dihubungi berkata suspek berusia lewat 30-an yang juga pengasuh mangsa itu ditahan di rumahnya petang tadi dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya esok untuk mendapatkan perintah reman.
Beliau berkata pihak Hospital Serdang menerima mangsa yang dibawa oleh bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 5.17 petang semalam dan sudah memberikan bantuan pernafasan, namun gagal bayi itu diselamatkan.
Sebelum itu, ACP Ismail berkata bapa mangsa mengambil anaknya dari rumah pengasuh terbabit dan dibawa ke Hospital Serdang setelah dimaklumkan tentang keadaan mangsa yang lemah.
Mangsa juga dilaporkan dalam keadaan sihat ketika dihantar ke rumah pengasuh pada kira-kira 8.00 pagi.
"Pengasuh itu, yang berkahwin dengan warga tempatan, dan ibu bapa mangsa telah lama saling mengenali," katanya.
ACP Ismail berkata hasil bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada kecederaan abdomen akibat dipukul dengan senjata tumpul dan kes disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.