Pengasas 'Sugarbook' direman 7 hari
Pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula semalam (18 Feb) selepas Mahkamah Tinggi membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad.

(Gambar: Bernama)
SHAH ALAM: Pengasas aplikasi Sugarbook direman selama tujuh hari bermula semalam (18 Feb) selepas Mahkamah Tinggi membenarkan semakan permohonan yang dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad.
Hakim Noorin Badaruddin mengeluarkan perintah itu selepas usahawan berusia 34 tahun itu tidak membantah dan setuju untuk direman bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Semalam (18 Feb) permohonan reman terhadap individu berkenaan ditolak oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noorasyikin Sahat selepas individu itu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
Individu itu yang diwakili peguam T. Shashi Devan dalam hujahnya berkata anak guamnya tidak membantah semakan permohonan berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi melengkapkan siasatan.
Tambah Shashi Devan, beliau memohon agar mahkamah memberi pertimbangan agar pihak polis tidak menggari tangan anak guamnya ke belakang kerana anak guamnya pernah mengalami kecederaan di bahagian bahu.
"Anak guam kami juga berpendapat ia merupakan platform yang baik untuk dia menyalurkan maklumat yang diperlukan agar siasatan dapat dijalankan dengan cepat dan lengkap," katanya.
Permohonan berkenaan kemudian mendapat perhatian Noorin yang kemudian memohon agar pihak polis memberi perhatian terhadap permintaan tersebut.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Shukor Abu Bakar manakala dua lagi peguam individu itu ialah Foong Cheng Leong dan Low Li Qun.
Awal dari itu, pengasas laman sesawang dan aplikasi pencarian teman berkenaan ditahan di ibu negara pada 4.30 petang, 17 Feb.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.