Pengasas FashionValet mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan RM8j
Pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Vivy Yusof dan suaminya Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis (5 Dis) atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta (S$2.4 juta), enam tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Pengasas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) Vivy Yusof dan suaminya Fadzarudin Shah Anuar didakwa di Mahkamah Sesyen pada Khamis (5 Dis) atas tuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta (S$2.4 juta), enam tahun lalu.
Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37 tahun, dan Fadzarudin, 36 tahun, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah dan PNB yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FashionValet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018.
Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.
Hakim Rosli membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin RM100,000 (S$30,287) dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan suami isteri itu perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.
“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu yang turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan kes.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata kesalahan itu tidak boleh diberi ikat jamin namun kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.
“Oleh itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan antara RM100,000 (S$30,287) hingga RM200,000 (S$60,574) dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah dan jumlah tersebut sangat munasabah dengan mengambil kira keseriusan kes ini.
“Kami berhak untuk meminta syarat tambahan dalam kes ini iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan ini amat serius dan ada flight risk (melarikan diri). Mereka boleh memohon untuk mendapatkan pasport sementara pada bila-bila masa dengan alasan munasabah.
“Kedua-dua tertuduh juga dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini kerana kebanyakan saksi terlibat dalam FashionValet,” kata Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM.
Wan Shaharuddin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada prosiding akan datang, pihaknya akan memfailkan pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Peguam A Ashok yang mewakili Vivy dan Fadzarudin berkata pihak pendakwaan bersetuju untuk menawarkan jaminan namun pihaknya memohon jumlah jaminan munasabah.
“Kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama baik dengan mematuhi sembilan notis untuk hadir ke pejabat SPRM bagi siasatan termasuk hari (hujung) minggu. Oleh itu, tiada keperluan untuk mahkamah khuatir atau risau mereka akan flight risk (melarikan diri) dan mereka hadir sendiri ke mahkamah hari ini,” kata peguam itu.
Ashok berkata mustahil untuk pasangan itu tidak hadir ke mahkamah kerana mereka mempunyai empat anak dan ahli keluarga serta perniagaan mereka di Kuala Lumpur.
“Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mereka akan hadir prosiding perbicaraan di mahkamah bagi membersihkan nama mereka. Mereka mengalami kekangan kewangan, segala aset dibekukan dan mereka bergantung kepada kawan-kawan serta ahli keluarga yang akan membantu untuk membayar wang jaminan.
“Jumlah jaminan tinggi seolah-olah menghukum mereka sebelum dibicarakan, iaitu mereka belum lagi disabitkan bersalah. Kami mohon jaminan munasabah dan syarat tambahan kami tidak bantah namun kami mohon anak guam melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur,” katanya.
Wan Shaharuddin kemudian berkata kes itu membabitkan RM8 juta (S$2.4 juta) dan jumlah itu munasabah serta bukan punitif atau jumlah yang menekan-nekan tertuduh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.