Pengasas bersama AirAsia Tony Fernandes rancang lancar syarikat penerbangan baharu
Pengasas bersama AirAsia Tony Fernandes sedang bersiap sedia untuk melancarkan sebuah syarikat penerbangan baharu, sambil mempertaruhkan turun naik harga minyak yang tinggi, lapor Bloomberg News pada Khamis (7 Mei).
Tony Fernandes, CEO syarikat induk AirAsia, Capital A, menghadiri wawancara bersama Reuters di Sepang, Malaysia pada 26 Feb 2024. (Gambar fail: Reuters/Hasnoor Hussain)
Syarikat penerbangan baharu itu dijangka diumumkan dalam masa beberapa bulan akan datang, menurut laporan itu, sambil menambah kumpulan penerbangan itu sedang memindahkan beberapa pesawat ke syarikat baharu itu.
AirAsia tidak segera membalas permintaan komen Reuters.
Encik Fernandes juga tidak membalas mesej yang dihantar melalui LinkedIn.
Syarikat penerbangan tambang jimat Malaysia, AirAsia bersedia menjual bon sebanyak AS$600 juta (S$759 juta) dan sedang berbincang dengan bank-bank Malaysia untuk mendapatkan pinjaman pembiayaan semula bagi mengurangkan kos faedah, kata Encik Fernandes kepada Bloomberg dalam satu wawancara video dari Montreal pada lewat Rabu (6 Mei).
Ini berlaku setelah syarikat penerbangan Malaysia itu mengumumkan pada Rabu mengenai tempahan 150 pesawat Airbus A220 yang dihasilkan di Kanada, dengan 150 pilihan untuk membeli versi lebih besar pesawat itu jika Airbus membuatnya.
AirAsia baru-baru ini mengurangkan jumlah penerbangan disebabkan oleh lonjakan dalam harga minyak sejak perang Amerika dan Israel ke atas Iran menjejas pasaran minyak global.
Namun Encik Fernandes berkata pada bulan lalu bahawa permintaan untuk penerbangan kekal tinggi dan beliau berasa positif syarikat penerbangan itu akan tampil lebih kukuh lagi setelah krisis berakhir.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.