Pengaruh Jokowi bawa kesan ke atas landskap Pilihan Raya Presiden meski tidak bertanding
Presiden Jokowi bersama Naib Presiden Jusuf Kalla (kiri) dan Anies Baswedan (kanan) yang merupakan anggota kanan pasukan kempen Jokowi. (Gambar: AFP)
JAKARTA: Kereta api laju Jakarta-Bandung merupakan kebanggaan Indonesia.
Bergelar ‘Whoosh’, ia bukan sekadar yang pertama untuk negara itu, malah rantau Asia Tenggara.
Kereta api laju Jakarta-Bandung mempunyai tiga jenis gerabak - kelas pertama, kelas perniagaan dan ekonomi premium. Ini adalah gerabak ekonomi premium yang paling murah dan boleh memuatkan 90 penumpang.
Projek tersebut dinilai sebagai satu lagi pencapaian Presiden Indonesia Joko Widodo, walaupun dibelenggu kos yang membengkak dan beberapa kali tertangguh.
Kegigihan beliau membangunkan prasarana di Indonesia merupakan antara sebab mengapa Encik Jokowi terus kekal popular.
Lebih 75 peratus rakyat Indonesia menyokong pencapaian beliau, agak luar biasa bagi seorang presiden di penghujung khidmatnya.
"Saya melihat prestasi Pak Jokowi dalam dua penggal, dalam 10 tahun ini, pembangunan saya kira, sangat baik sekali," ujar seorang penduduk tempatan.
Walaupun begitu popular, Encik Jokowi tidak boleh bertanding dalam pilihan raya Rabu ini, kerana perlembagaan melarang presiden untuk berkhidmat lebih daripada dua penggal.
Namun kini, sebilangan rakyat Indonesia menuduh Encik Jokowi ingin menubuhkan dinasti politik, selepas Mahkamah Perlembagaan membuka jalan untuk anak sulungnya Gibran Rakabuming Raka, untuk bertanding sebagai calon naib presiden.
Keputusan tersebut dikritik sebagai satu bentuk nepotisme, kerana ketua mahkamah ketika itu adalah ipar Encik Jokowi dan pakcik kepada Gibran.
Presiden Widodo dikatakan secara terselindung mendapatkan sokongan untuk Encik Prabowo, sekali gus menjamin kemenangan anaknya Gibran.
Walaupun beliau tidak bertanding, wajah Encik Jokowi terpampang di poster-poster kempen pilihan raya.
"Presiden itu boleh berkempen. Tapi yang paling penting, waktu berkempen, tidak boleh gunakan kemudahan negara," jelas Presiden Jokowi.
Presiden Jokowi berkongsi, beliau akan kembali ke kampung halamannya di Solo, Jawa Tengah setelah melepaskan jawatannya Oktober nanti.
Namun ramai pengamat percaya, beliau bercita-cita tinggi.
Encik Jokowi sekeluarga juga mempunyai pengaruh yang luas, dan dijangka terus memainkan peranan penting dalam menentukan arah politik Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.