Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengarah Urusan IMF adakan lawatan ke China hujung Mac ini

Anggaran Waktu Membaca:
Pengarah Urusan IMF adakan lawatan ke China hujung Mac ini

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva (Gambar: Salim Dawood/AFP)

WASHINGTON: Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva akan mengadakan lawatan ke China dari 24 hingga 30 Mac, sumber-sumber IMF memberitahu Reuters pada Jumaat (17 Mac). 

Cik Georgieva akan menyampaikan ucaptama di Forum Pembangunan China (CDF) di Beijing pada 26 Mac dan berucap di Forum Boao bagi Sidang Tahunan Asia pada 30 Mac di bandar Boao di Qionghai, wilayah Hainan. Demikian menurut sumber-sumber berkenaan, tanpa mendedahkan identiti mereka. 

Beliau turut akan menyertai beberapa acara sampingan dan mesyuarat dua hala bersama pihak berkuasa ketika berada di China, tambah sumber-sumber tersebut. 

Lawatan Cik Georgieva ke Beijing dibuat selepas pasukan kepimpinan baru China mengambil alih jawatan berikutan sidang parlimen pada awal bulan ini. Mereka termasuk Perdana Menteri baru Li Qiang dan Naib Perdana Menteri He Lifeng, yang menggantikan Liu He sebagai pegawai ekonomi tertinggi China. 

Cik Georgieva telah mendesak China agar memainkan peranan lebih besar untuk menyediakan pelepasan hutang kepada negara-negara yang bergelut dengan jumlah pinjaman yang banyak daripada Beijing. Beliau menganjurkan perbincangan meja bundar hutang pemerintah yang turut disertai para pegawai China, di luar mesyuarat pemimpin kewangan G20 di India pada Februari. 

China kemudian bersetuju untuk memberikan jaminan pembiayaan khusus bagi Sri Lanka, yang dijangka menerima bantuan program kewangan IMF bernilai AS$2.9 bilion (S$3.9 bilion).

Namun, ia kekal tidak pasti sama ada Beijing akan memberikan jaminan serupa dan pengurangan pokok hutang kepada negara-negara lain yang turut dibelit masalah hutang, termasuk Zambia. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan