Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pengantin 'viral' hantar invois kepada tetamu yang tidak hadir majlis persandingan

Lelaki ini menghantar invois S$325 kepada 2 rakan yang tidak hadir ke majlis perkahwinannya. Wajarkah pengantin menghantar invois kepada tetamu yang sudah 'RSVP' tetapi akhirnya tidak muncul? 

Anggaran Waktu Membaca:
Pengantin 'viral' hantar invois kepada tetamu yang tidak hadir majlis persandingan

(Gambar hiasan: marla66/Pixabay)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 10:39PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 10:49PM

SINGAPURA: Majlis persandingan adalah hari yang sangat istimewa buat para mempelai. Tentu sekali, setiap tetamu yang dijemput untuk hadir pasti dianggap sebagai rapat atau istimewa buat mereka dan apabila mereka tidak hadir, ia berpotensi membuat raja dan permaisuri sehari atau ibu bapa pengantin tersinggung.

Selain hati terguris, ia juga sedikit sebanyak menjejas 'kocek' penganjur, terutama jika ia merupakan majlis makan malam di tempat mewah.

Malah kos majlis yang 'biasa-biasa' saja hari ini juga tidak kurang mahalnya, di tengah pelbagai sekatan COVID-19. Lantas, tidak hairanlah jika keluarga pengantin akan berasa kurang puas hati jika tetamu yang dijemput tidak hadir tanpa sebarang khabar.

Baru-baru ini pula, seorang pengantin lelaki di Amerika Syarikat memutuskan untuk tidak sekadar memendam perasaannya yang tersinggung dan memilih untuk menghantar invois kepada dua rakannya yang sudah 'RSVP' atau bersetuju untuk hadir di majlis perkahwinannya, namun akhirnya tidak muncul.

(Gambar: Twitter/Philip Lewis)

(Gambar: Twitter/Philip Lewis)

Invois yang kini tular itu dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter bernama Philip Lewis.

Ia kelihatan seperti invois rasmi bertarikh 18 Ogos tahun ini dan mengenakan bayaran AS$240 (S$325) bagi harga tempat duduk mereka dengan tempoh sebulan untuk melunaskannya.

Mediacorp sempat menghubungi beberapa pasangan suami isteri di sini sama ada mereka juga akan melakukan yang sama jika tetamu mereka tidak hadir tanpa memberitahu mereka terlebih dahulu.

"Tidak, saya tidak akan (lakukan sedemikian)," kata pereka aplikasi Tricia Lin, 32 tahun, yang menambah beliau sebaliknya berasa bimbang takut-takut tetamu itu tidak hadir kerana ada yang tak kena.

Namun beliau berseloroh, sekiranya tiada sebab mustahak untuk mereka tidak hadirkan diri, beliau akan menggunakan cara halus, dengan membuat mereka rasa bersalah hingga mereka belanja beliau makan.

Seorang pengurus projek, Kelvin Yeo, 33 tahun, pula pernah merasai apa yang dilalui pengantin yang menghantar invois itu. Menurutnya, ada beberapa tetamunya yang tidak hadir, dengan salah seorang yang "langsung tidak berbudi bahasa dan tidak menghantar pesanan meminta maaf" kerana tidak dapat hadir.

Walaupun terguris, beliau tidak akan menghantar invois kerana tidak mahu dianggap "cheapo" atau terlalu berkira.

Lagipun tambahnya, jika mereka tidak segan silu untuk tidak hadir di majlis anda setelah dijemput, kemungkinan mereka membayar setelah diberi invois juga agak rendah.

Sepasang pengantin baru, Shin Ng, 32 tahun dan Randy Toh, 31 tahun, pula berpendapat bahawa pasangan mempelai yang sepatutnya bersedia untuk menanggung kos majlis perkahwinan mereka, tidak kira sama ada tetamu yang diundang hadir atau tidak.

"Anda menjemput tetamu ke majlis anda kerana mahu meraikan hari bahagia anda bersama. Walaupun anda sudah belanjakan terlebih dahulu bagi tempat duduknya dan dia tidak hadir, mengapa pula tetamu itu perlu membayar? Tetamu diberi pilihan untuk hadir ataupun tidak," luah Shin. 

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa