Pengantin baru batalkan majlis jamuan; derma makanan kepada mangsa banjir
Pasangan mempelai itu sendiri menyingsing lengan bersama dengan pihak katerer untuk hulur makanan kepada mangsa banjir.
Petikan skrin media sosial menerusi Malay Mail.
KUALA LUMPUR: Sepasang pengantin baru yang merancang untuk melangsungkan majlis persandingan mereka dengan mengundang 300 tetamu sebaliknya memutuskan untuk membatalkan majlis tersebut dan mendermakan makanan kepada para mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara di Meru, Klang.
Pasangan itu, Encik Muhammad Nabil Mohd Azimi, 23 tahun, dan Cik Nur Asyiqin Md Hamdan, 25 tahun, terpaksa membatalkan majlis persandingan mereka pada 19 Dis disebabkan oleh banjir besar yang melanda Malaysia baru-baru ini.
Rakaman video pasangan itu mendermakan makanan kepada para mangsa banjir selepas meninggalkan lokasi majlis mereka dimuat naik oleh katerer majlis tersebut, Cik Erin Suhaimi ke laman TikTok pada Isnin (20 Dis) dan sikap ihsan pasangan itu mendapat pujian di media sosial.
Menurut laman Coconuts, klip video itu turut memuatkan maklumat mengenai pembatalan majlis berkenaan dan pengagihan makanan bersama dengan para kakitangan syarikat katering di pusat pemindahan sementara tersebut pada Ahad.
“Majlis persandingan itu dibatalkan bagi membolehkan pasangan tersebut mengadakannya di pusat pemindahan sementara Meru di Klang.
"Pasangan itu mengedarkan makanan di sini, bersama-sama dengan pasukan katering kami," menurut kenyataan pada video tersebut.
Video tersebut meraih sekurang-kurangnya 498,000 tontonan, 61,000 tanda suka dan berhasil mengundang sebanyak 3,000 komen.
Ramai juga yang memanjatkan doa bagi pasangan mempelai itu. Tidak kurang juga netizen yang memuji kesanggupan pasangan itu untuk membatalkan majlis jamuan mereka semata-mata untuk membantu golongan yang memerlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.