Pengantin baru, 17 rakan didenda langgar PKP
Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk satu pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lalu.
Gambar hiasan. (Gambar: Bernama)
LANGKAWI: Asyik merakam gambar kenangan secara berkumpulan berhampiran sebatang sungai, 19 individu termasuk satu pasangan pengantin ditahan polis dan dikenakan kompaun, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata, para pegawainya yang membuat rondaan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, telah mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu kira-kira pukul 6.30 petang.
"Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai. Hasil siasatan mendapati mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut serta ada yang datang daripada beberapa lokasi lain sekitar pulau ini," katanya semalam.
ACP Shariman berkata anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas yang kukuh untuk keluar rumah.
Katanya lagi, mereka yang berusia antara 17 hingga 28 tahun itu telah dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 (S$328) setiap seorang sebelum dibebaskan.
Pada 28 Jan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai Isnin (1 Feb) dan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.