Penganjuran pesta seks di JB cetus kecaman; dipercayai masih diteruskan pada tarikh baru
Poster ‘Gang Bang JB Party’ yang tular mengajak orang ramai menyertai seks bebas yang sebelum ini dijadual diadakan di Johor Bahru pada 20 Jun 2023. (Gambar: Utusan Malaysia)
JOHOR BAHRU: Penganjuran pesta seks 'Gang Bang JB Party', yang sebelum ini menjadi kontroversi, didakwa tetap diadakan pada tarikh baru, namun di lokasi yang dirahsiakan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Johor, Mohamad Taufiq Ismail, berkata pihaknya mendapati terdapat percubaan untuk menukar tarikh penganjuran acara itu kepada 10 Jun walaupun mendapat kecaman serta bantahan pelbagai pihak, lapor Harian Metro.
Bagaimanapun, katanya, hantaran itu didapati sudah dipadam.
"Pesta seks ini memang belum berlaku, tetapi ada poster yang tular. Mula-mula 20 Jun, tetapi dalam ciapan Twitter baru dipercayai penganjur tersilap tarikh dan akan ditukar kepada 10 Jun, tetapi saya lihat ia sudah dipadam.
"Tarikh, masa semua sudah ada, tetapi tempat dirahsiakan," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung isu pesta seks itu dan penggunaan kalimah Allah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada Sabtu (27 Mei).
Encik Mohamad Taufiq berkata kepada Harian Metro polis perlu mengambil tindakan drastik bagi memastikan penganjuran pesta seks berkenaan tidak dijalankan.
"Saya harap polis atau pihak berkuasa ambil tindakan drastik, bukan sahaja ke atas penganjur acara itu tetapi mungkin terhadap mana-mana penganjur yang buat benda sama.
"Kita harap perkara ini boleh dicegah kerana bimbangkan khususnya anak muda. Aktiviti ini perlu dihentikan kerana akan mencemar imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam," katanya sepertil ditukil Harian Metro.
Rabu lalu (24 Mei), Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, mengarahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengambil tindakan terhadap penganjuran pesta seks 'Gang Bang JB Party' yang tular dan dijadualkan berlangsung bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.