Skip to main content

Dunia

Penganggur ditahan di Melaka bawa anak saudara mengemis jadi 'Spiderman'

Anggaran Waktu Membaca:
Penganggur ditahan di Melaka bawa anak saudara mengemis jadi 'Spiderman'
Gambar hiasan. (Gambar: iStock)
MELAKA: Seorang lelaki sanggup membawa anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun untuk mengemis dengan menyamar sebagai Spiderman semata-mata untuk mendapatkan pendapatan mudah.

Tindakan lelaki berusia 50 tahun itu terbongkar selepas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Kalsom Noordin bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menahannya di sebuah kawasan stesen minyak di daerah Melaka Tengah kira-kira jam 6.00 petang pada Ahad (8 Feb).

Cik Kalsom berkata, pihaknya yang menerima aduan kejadian mengeksploitasi kanak-kanak itu kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati individu terbabit bukan bapa kandung, sebaliknya bapa saudara kepada kanak-kanak dua beradik itu.

Beliau berkata, lelaki berstatus duda itu memberi alasan baru diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan dan terpaksa meraih simpati orang ramai dengan menjadikan anak saudaranya sebagai maskot untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kita memberi amaran kepada lelaki itu yang mengeksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis.

"Perbuatan ini kesalahan mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 (S$6,450) atau kedua-duanya sekali," katanya, seperti dinukil BH Online.

Menurutnya, tindakan mengeksploitasi kanak-kanak untuk meraih simpati adalah serius dan salah dari segi undang-undang, walaupun dilakukan ahli keluarga sendiri.

"Saya datang bagi memastikan kebajikan kanak-kanak ini terjamin. Jika benar dia berdepan masalah kewangan, gunakan saluran yang betul dan bukan membabitkan kanak-kanak," katanya, seperti dipetik BH Online.

Sementara itu, lelaki terbabit yang datang ke lokasi itu dengan menunggang motosikal beberapa kali meminta maaf dan menyesali perbuatan dilakukan meskipun memaklumkan aktiviti itu diketahui ibu bapa kanak-kanak terbabit.

Tinjauan sejak jam 3.00 petang mendapati lelaki itu bersama kanak-kanak terbabit duduk dalam keadaan panas terik untuk mengemis.

Lebih menyedihkan, kostum Spiderman yang dipakai kanak-kanak itu sudah lusuh dan koyak, selain kanak-kanak itu dilihat berjalan sendirian di kawasan tong sampah besar tanpa pemantauan lelaki itu.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita