Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penganggur didenda RM10,000 hina Nabi Muhammad dan agama Islam

Akibat memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seorang penganggur didenda RM10,000 (S$3,300) atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Penganggur didenda RM10,000 hina Nabi Muhammad dan agama Islam

(Gambar hiasan: AFP/Getty Images/Joe Raedle)

Diterbitkan : 15 Mar 2021 03:26PM Dikemas Kini : 15 Mar 2021 03:28PM

KUALA LUMPUR: Akibat memuat naik hantaran bersifat jelik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, seorang penganggur didenda RM10,000 (S$3,300) atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini (15 Mac).

Hakim M.M. Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Zahrein Zakariah, 39, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan tersebut.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 (S$1,600) atau penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu. OKS membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Zahrein didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Semar Tilem”.

Kedua-dua hantaran itu dibaca di UTC Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat di sini, pada pukul 11.00 pagi, 8 Mei 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 (S$16,000) atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 (S$330) bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, peguam L.A. Gomes yang mewakili OKS memohon hukuman denda minimum atas alasan anak guamnya telah insaf selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam.

“Mohon mahkamah mengambil kira tindakan OKS itu telah membuatkan kucar-kacir dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan