Skip to main content

Dunia

Pengampunan diraja diberi kerana terdapat 'pelanggaran prinsip keadilan', tegas Anwar Ibrahim

Anggaran Waktu Membaca:
Pengampunan diraja diberi kerana terdapat 'pelanggaran prinsip keadilan', tegas Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim menghadiri sidang parlimen pertama sejak PRU15 di Kuala Lumpur pada 19 Dis 2022. (Gambar: Pejabat Perdana Menteri/Afiq Hambali)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah memohon pengampunan diraja daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang menjadi Yang di-Pertuan Agong pada 2018.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri ke-10 itu, pengampunan tersebut adalah inisiatif daripada Agong sendiri, lapor agensi berita Malaysia kini.

Kata Encik Anwar, tindakan tersebut diambil Sultan Muhammad V itu kerana menyifatkan pemenjaraannya sebelum ini sebagai 'pelanggaran prinsip keadilan' atau "travesty of justice".

“Saya tidak mohon pengampunan kerana saya dihukum."

“Yang ambil inisiatif (memberikan pengampunan) itu adalah Agong, yang menelefon saya - dan ini saya sebut kepada umum (sebelum ini) - semasa saya di rehab center, menyatakan bahawa (baginda) akan memberikan pengampunan penuh kerana jelas ia suatu 'travesty of justice'", kata Encik Anwar di Dewan Rakyat, pada Selasa (20 Dis).

Encik Anwar dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana rasuah pada April 1999, dan sembilan tahun lagi pada Ogos 2000 atas sabitan tuduhan liwat.

Pada Februari 2015, Encik Anwar dipenjarakan sekali lagi selepas sabitan kes liwat kali kedua dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Beliau menjalani hukuman tiga tahun sebelum menerima pengampunan diraja berikutan kejayaan PH pada PRU14 pada Mei 2018.

Mengulas lanjut, Encik Anwar yang juga ahli parlimen Tambun meminta pihak yang terus menerus mempersoalkan pengampunannya agar bertemu sendiri dengan Sultan Kelantan bagi mendapatkan pengesahan.

"Saya harap ahli-ahli yang berhormat daripada Kelantan khususnya boleh mengadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ketika itu menjadi Yang Dipertuan Agong," katanya, lapor agensi berita Malaysia kini.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita