Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penerjun aksi nekad tersangkut pada tiang lampu bangunan di Putrajaya

Seorang peserta terjunan ekstrem sempena Putrajaya Base Jump berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat semasa hendak melakukan pendaratan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerjun aksi nekad tersangkut pada tiang lampu bangunan di Putrajaya

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 03 Feb 2020 12:48PM Dikemas Kini : 03 Feb 2020 12:54PM

PUTRAJAYA: Seorang peserta terjunan ekstrem sempena Putrajaya Base Jump berdepan detik cemas apabila payung terjunnya tersangkut pada tiang lampu bangunan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat semasa hendak melakukan pendaratan.

Dalam kejadian pada Ahad (2 Feb) kira-kira 5.00 petang itu, penerjun Jepun Yasuhiro Kubo tergantung pada tiang lampu sisi bangunan tersebut lebih 10 minit sebelum diselamatkan oleh pihak pengurusan acara dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya.

Mangsa yang mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dan sudah melakukan 12,000 terjunan dalam pelbagai disiplin itu dipercayai tersangkut pada aras 21 bangunan setinggi 40 tingkat itu dan dia dipercayai ditolak angin ke arah dinding bangunan berkenaan sejurus melakukan terjunan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati pengurusan acara menggunakan gondola, alat yang digunakan oleh kontraktor untuk membersihkan cermin bangunan bagi menurunkan mangsa.

Lelaki berusia lewat 50-an tahun yang dilihat tidak mengalami sebarang kecederaan itu diberikan rawatan awal oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sebelum dibawa ke hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Encik Kubo yang dilihat ceria sambil melambai-lambai rakan penerjun lain selain berswafoto ketika berada di dalam gondola semasa proses menurunkannya bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui.

Encik Kubo merupakan antara 34 peserta asing daripada sembilan negara yang mengambil bahagian dalam acara Putrajaya Base Jump, anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) sempena 25 tahun penubuhan Putrajaya dan sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj Tengku Aina Tengku Ismail Shah dalam satu kenyataan berkata pihak penganjur sudah membuat persiapan rapi bagi sebarang insiden dan menyedari sukan ekstrem itu sememangnya berisiko.

Beliau berkata pasukan teknikal juga turut mendapat bantuan daripada pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap siaga di tapak penganjuran antaranya pasukan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Hospital Putrajaya.

Atas faktor itu, katanya Encik Kubo berjaya diturunkan dengan cepat hasil tindakan pantas pasukan teknikal acara serta bomba yang berada di lokasi kejadian.

Kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang, yang menyaksikan penerjun Jepun Yasuhiro Kubo berjaya diturunkan dengan tindakan pantas pasukan teknikal acara serta pasukan bomba. Penerjun dihantar oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam ke Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan.

Setelah dibawa ke hospital Encik Yasuhiro Kubo disahkan hanya mengalami kecederaan ringan dan akan pulang ke Tokyo pada malam yang sama, katanya.  

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan