Skip to main content

Dunia

Penerbangan ke Bali disambung semula susuli gangguan akibat letusan gunung berapi

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan ke Bali disambung semula susuli gangguan akibat letusan gunung berapi

Gunung Lewotobi Laki-laki mengeluarkan asap dan abu gunung berapi seperti yang dilihat dari kampung Kawalelo di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia, pada 17 Jun, 2025. (Gambar fail: REUTERS/Floriana Jijiana J Tobin)

Diterbitkan : 19 Jun 2025 05:34PM Dikemas Kini : 19 Jun 2025 05:35PM
JAKARTA: Semua penerbangan ke dan dari pulau peranginan Bali Indonesia disambung semula pada Khamis (19 Jun) selepas dibatalkan atau ditangguhkan akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-laki, kata para pegawai.

Gunung Lewotobi Laki-laki, yang terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur, meletus pada Selasa, mengeluarkan abu setinggi 11km.

Sebanyak 87 penerbangan ke dan dari Bali, terdiri daripada 66 penerbangan antarabangsa dan 21 penerbangan domestik, terjejas pada Rabu akibat letusan tersebut, menurut pengendali lapangan terbang Bali menerusi satu kenyataan. Ini termasuk penerbangan sambungan ke Australia, Singapura, Vietnam dan Malaysia.

Pada Khamis, penerbangan dari Bali berlepas mengikut jadual ke Australia, Vietnam, Singapura, Malaysia dan China, kata Gede Eka Sandi Asmadi, seorang pegawai di lapangan terbang Bali, dalam satu kenyataan.

Penerbangan tersebut dikendalikan oleh syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, Virgin Australia, JetStar dan Singapore Airlines, tambahnya.

"Sehingga kini, semua operasi berjalan lancar, baik berlepas mahupun ketibaan," kata Encik Asmadi.

Penerbangan yang dikendalikan oleh Qantas dan syarikat penerbangan tambang murahnya Jetstar dijadual beroperasi seperti biasa pada Khamis, menurut syarikat itu.

Beberapa penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dan AirAsia Indonesia ke dan dari Bali, Lombok dan Labuan Bajo, yang telah dibatalkan sejak Rabu, juga telah disambung semula, menurut syarikat penerbangan itu.

Dua lapangan terbang di wilayah Nusa Tenggara Timur dibuka semula pada Khamis selepas ditutup sementara pada Rabu.

Sekalipun demikian, pihak berkuasa melanjutkan penutupan lapangan terbang Fransiskus Xaverius Seda di Maumere sehingga Jumaat kerana masih terdapat abu gunung berapi di udara yang menimbulkan risiko kepada penerbangan, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam satu siaran di media sosial.

Puluhan penduduk yang tinggal di tiga kampung terdekat dengan gunung berapi itu sudah dipindahkan, menurut agensi mitigasi bencana tempatan.

Menurut agensi gunung berapi Indonesia, Lewotobi meletus 427 kali tahun ini. Letusan pada Selasa adalah yang terbesar sejak November tahun lalu apabila ia meletus beberapa kali, dan mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang.

Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi di atas beberapa plat tektonik.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita