Skip to main content

Dunia

Penerbangan di Melbourne dibatalkan akibat jerebu kebakaran belukar

Beberapa penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Melbourne pada Rabu (15 Jan) akibat cuaca buruk, termasuk jerebu dari kebakaran belukar Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan di Melbourne dibatalkan akibat jerebu kebakaran belukar

(Gambar: Facebook/Melbourne Airport)

Diterbitkan : 15 Jan 2020 10:41PM Dikemas Kini : 15 Jan 2020 10:46PM

MELBOURNE: Beberapa penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Melbourne pada Rabu (15 Jan) akibat cuaca buruk, termasuk jerebu dari kebakaran belukar Australia.

Tinjauan Mediacorp ke laman web lapangan terbang itu menunjukkan beberapa penerbangan domestik dibatalkan, dilencong atau ditangguhkan, menjejas beberapa syarikat penerbangan termasuk Qantas Airways, Jetstar Airways, Virgin Australia, Emirates dan China Airlines.

Seorang jurucakap lapangan terbang berkata, lebih 50 penerbangan dibatalkan setakat tengah hari Rabu ekoran penglihatan terhad, menurut akhbar Herald Sun.

Tiada penerbangan antarabangsa dibatalkan kerana mereka diberi keutamaan pendaratan oleh kawalan udara, menurut laporan itu lagi.


Australia sedang bergelut dengan kebakaran belukarnya yang paling teruk pernah tercatat. Kebakaran sejak September itu setakat ini meragut 29 nyawa, memusnahkan lebih 2,500 rumah dan kawasan seluas negara Bulgaria.

Melbourne, ibu kota wilayah Victoria, paling teruk terjejas jerebu kebakaran hutan Australia pada Rabu, menurut imbasan satelit kendalian NASA.

Beberapa pengguna media sosial berkata Lapangan Terbang Melbourne ditutup, namun pihak lapangan terbang menafikan dakwaan itu dan menegaskan ia masih beroperasi.

"Gabungan keadaan berjerebu dengan ribut menjejas jadual, tetapi ... kami masih di sini (beroperasi)," tulis Lapangan Terbang Melbourne menjawab beberapa ciapan Twitter.

Hujan lebat yang diramalkan lewat Rabu mungkin akan membantu mengawal sebahagian daripada 114 kebakaran di merata New South Wales (NSW) dan Victoria, namun ia juga membawa bahaya baru.

"Walaupun (ribut petir) boleh membawa hujan yang sangat diperlukan, hujan juga boleh turun dengan sangat lebat, dengan banyak," kata Kevin Parkyn, seorang pengkaji cuaca kanan di Biro Kaji Cuaca, kepada para wartawan.

Beliau berkata angin kencang, hujan lebat dan hujan air batu besar turut diramalkan bagi kota Melbourne dan kawasan sekeliling.

Sumber : CNA/Reuters/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita