Penerbangan British Airways salah mendarat di Edinburgh
Sebuah pesawat British Airways dari London tersalah mendarat di Edinburgh pada Isnin (25 Mac).
Lambang British Airways (Gambar: Reuters)
LONDON: Sebuah pesawat British Airways dari London tersalah mendarat di Edinburgh pada Isnin (25 Mac).
Penerbangan itu sepatutnya menuju ke Dusseldorf di Jerman.
Para penumpang hanya menyedari kesilapan itu apabila juruterbang mengumumkan bahawa pesawat berkenaan akan mendarat di Edinburgh, yang terletak sekitar 800 kilometer dari Dusseldorf.
Selepas kru penerbangan sedar akan kesilapan itu, pesawat tersebut mengisi minyak sebelum melakukan penerbangan ke Dusseldorf. Ia akhirnya mendarat di Jerman setelah tertangguh lebih tiga jam setengah.
"Kami sedang bekerjasama dengan WDL Aviation, yang mengendalikan penerbangan itu bagi pihak British Airways, untuk menentukan mengapa laluan penerbangan yang salah difailkan," kata seorang jurucakap.
Son Tran, seorang pengguna Twitter yang menaiki pesawat itu, berkata: "Walaupun satu konsep yang menarik, saya pasti tiada sesiapa pun yang menjangkakan loteri penerbangan misteri ini."
Seorang lagi penumpang, Sophie Cooke, pula memberitahu BBC bahawa tempoh menunggu di Edinburgh "sangat mengecewakan".
"Tandas-tandas tersumbat dan snek pun sudah kehabisan. Sangat sesak," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.