Skip to main content

Dunia

Penduduk Xinjiang adakan bantahan online terhadap sekatan COVID-19

Para penduduk di Xinjiang, barat laut China, mengadu di media sosial mengenai langkah ketat bagi membendung virus korona di daerah sensitif itu selepas berlaku penularan tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Xinjiang adakan bantahan online terhadap sekatan COVID-19

Gambar fail dipetik pada 2011 menunjukkan lelaki Uighur di Xinjiang (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 25 Aug 2020 03:21PM Dikemas Kini : 25 Aug 2020 03:27PM

BEIJING: Para penduduk di Xinjiang, barat laut China, mengadu di media sosial mengenai langkah ketat bagi membendung virus korona di daerah sensitif itu selepas berlaku penularan tempatan.

China secara amnya berjaya mengawal penularan tempatan melalui langkah kepungan, sekatan perjalanan dan ujian, namun sekali-sekala penularan tempatan akan tercetus.

Kelompok jangkitan baru di ibu kota Xinjiang, Urumqi pada pertengahan Julai mencetuskan sekatan baru. Sebanyak 902 kes dilaporkan secara rasmi.

Para pegawai awal bulan ini berkata bahawa mereka "membendung dengan berkesan" penularan kelompok Urumqi, dan tiada kes baru dilaporkan sejak lapan hari lalu.

Namun ratusan penduduk tempatan membanjiri forum media sosial tempatan sejak beberapa hari lalu untuk mengadu mengenai keadaan yang teruk, termasuk ramai yang dipaksa duduk di rumah.

Setelah beberapa komen itu dipadam, para pengguna cuba membanjiri forum tempatan di wadah serupa Twitter, Weibo, di Beijing, Shanghai dan Guangzhou.

Pengguna media sosial mengongsikan gambar pintu depan yang dihadang dengan batang besi, dan mangga yang dipasang oleh pekerja masyarakat.

"Mengapa daerah-daerah tanpa kes tidak boleh mansuhkan langkah kepungan? Mengapa anda perlu kepung seluruh Xinjiang?" menurut satu komen di Weibo.

Gambar-gambar yang tersebar di Weibo dan WeChat juga didakwa menunjukkan orang yang dirantai ke pintu gerbang kawasan kediaman, yang dilaporkan sebagai hukuman kerana meninggalkan rumah mereka.

Pekerja asing yang terkandas, pelajar universiti, pelawat atas urusan perniagaan dan pelancong juga mengadu tidak dapat meninggalkan Xinjiang.

"Saya bahkan telah mengambil tiga ujian asid nukleik ... tetapi pekerja masyarakat tidak akan membiarkan saya pergi," kata seorang pengguna di papan pesanan akhbar harian dikendalikan pemerintah, People's Daily.

Semasa sidang media Khamis lalu, para pegawai kesihatan tempatan di Xinjiang mengatakan bahawa keadaan pandemik tetap "rumit dan berat".

Kira-kira separuh daripada lebih 21 juta penduduk Xinjiang adalah masyarakat etnik Uighur dan Muslim keturunan Turk yang lain, yang ramai daripada mereka mengadu tentang penindasan politik dan agama selama puluhan tahun oleh Parti Komunis China. Dakwaan tersebut dinafikan oleh pemerintah.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita